Bila Ramadhan datang, mesti kita teringat amalan solat sunat Tarawih. Ramadhan tak dapat dipisahkan dengan Tarawih. Dan Tarawih juga tak dapat dipisahkan dengan KEMERIAHAN. Kenapa kita rasa meriah?
Adakah meriah tersebut merujuk kepada:
1. kemeriahan ibadah
2. kemeriahan sebab ramai orang
Aku yakin, memang ramai di antara kita rasa tak sabar dengan kemeriahan ibadah. Tapi sebenarnya, lagi ramai yang nakkan kemeriahan sebab ramai orang.
Persoalannya sekarang, kenapa kita rasa dan nakkan meriah sebab ramai orang?
Sebabnya adalah, sebelum Ramadhan, masjid-masjid lengang. Sof pun tak penuh. Selipar jamban lebih banyak daripada selipar orang yang datang. Tiang lebih banyak daripada individu yang datang. Sejadah lagi banyak daripada orang yang datang. Dan banyak lagilah yang lebih banyak daripada orang yang datang, termasuklah taik cicak.
Tapi fenomenana ni berputar 180 darjah apabila anak bulan Ramadhan kelihatan. Sof-sof kat masjid penuh sampai tak muat masjid. Ada yang kena bawak sejadah sendiri untuk solat kat luar. Meriah tu kian terasa apabila ada suara anak-anak kecil, dan lepas solat ada pulak moreh. Lepas moreh, ada pulak budak-budak main kejar-kejar, main bola, lumba basikal, dan kedengaran jugak bunyi mercun bola dan meriam buluh.
Tengok, kemeriahan ini bukanlah bersifat kemeriahan beribadah. Sebaliknya kemeriahan sebab orang ramai. Tambahan pulak, lepas habis je bulan Ramadhan, fenomena ni lenyap begitu saja. Takde lagi orang nak penuhkan sof solat. Tapi mereka ni lebih suka memenuhkan sof pasar malam. Kalau macam ni, memang betul-betul terasa kemeriahan tu lenyap begitu saja! Masakan tidak kita rasa meriah apabila kita bertarawih!
Meneliti fenomena ini, kita seharusnya dapat meletakkan diri kita kat mana:
1. Hamba Allah, atau
2. Hamba Ramadhan
Sepatutnya, usai saja Ramadhan, masjid sepatutnya penuh, dakwah menjadi lebih gencar disebabkan pentarbiyahan Madrasah Ramadhan. Senang je nak tengok sama ada Madrasah Ramadhan kita memberikan tarbiyah yang sempurna atau tidak. Yakni dengan melihat anjakan paradigma pada diri kita SELEPAS RAMADHAN.
Inilah akibat daripada pentarbiyahan sekular. Umat Islam tidak dididik dengan pemikiran Islam. Kembalilah kepada pemikiran Islam yang dibina atas dasar keimanan
"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu MUDAH-MUDAHAN KAMU BERTAQWA" [TMQ al-Baqarah(2):183]
