
Setiap manusia itu dijadikan oleh Allah SWT itu dengan keadaan yang berbeza-beza. Keagungan ciptaan Allah SWT dapat dilihat dengan ciptaan yang bervariasi seperti bangsa, bahasa, budaya, warna kulit, dan sebagainya. Tidak kurang juga Allah SWT telah menciptakan manusia itu dengan sifat yang tidak sempurna seperti bisu dan cacat pendengaran.
Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.
[TMQ an-Nisa`:1]
Islam tidak meminggirkan golongan ini. Bahkan, golongan seperti inilah yang wajib diberi perhatian sewajarnya. Mereka perlu dibantu, bukan dianiaya. Mereka perlu diberikan perhatian, bukan disisihkan. Bahkan, bukan itu sahaja. Mereka juga wajib ditarbiyah dengan fikrah yang mustanir (cemerlang) dan tidak kurang juga, mereka wajib untuk menyampaikan dakwah.
Namun, adakah kita turun padang untuk merasai dan menyelami realiti dunia orang kurang upaya (OKU) ini? Sejauh manakah pemahaman mereka terhadap Islam? Kebanyakannya, pemahaman mereka terhadap Islam tidaklah sejernih OKU lain seperti orang cacat penglihatan. Ada dalam kalangan mereka masih belum mengenal Allah SWT. Ada yang beranggapan Allah SWT itu berserban dan berjanggut.
Jelaslah bahawa di sini, aqidah mereka masih belum jelas dan mereka berada pada zon bahaya. Perjalanan mereka masih jauh untuk mengenali Khilafah, kapitalis, sosialis, sekular, dan ideologi-ideologi lain yang perlu diambil tahu oleh umat Islam kerana asas mereka sebagai muslim masih belum selesai.
Mereka wajib berdakwah dan mesti ditarbiyah sebelum berdakwah. Jadi, kepentingan dan kewajipan usaha dakwah terhadap mereka tidak dapat dinafikan. Justeru, apakah penyelesaian kepada masalah ini? Masalah ini bukanlah suatu masalah yang boleh dipandang remeh. Tuntasnya, umat Islam wajib mempelajari bahasa isyarat jika ingin berdakwah kepada golongan OKU ini.
Dengan usaha dakwah yang dijalankan dalam bahasa isyarat, insya Allah mereka akan dapat pemahaman yang lebih jelas dan mantap. Natijahnya, akan lahirlah generasi Islam yang mustanir.
Selanjutnya...