Pages

31 July 2011

Rancangan Melodi TV3 Versi Blog


Ada siapa-siapa kat sini tak pernah tengok rancangan jahat Melodi di TV3? Rasanya-rasanya semua manusia kat Malaysia ni pernah tengok antara rancangan yang paling jahat kat Malaysia ni. Cuma, sama ada kita benci atau suka saja. Yang suka tu, mungkin memang dasar suka tengok keburukan orang. Tapi tak kurang juga ada yang tengok mungkin sebab nak ambil tahu saja, tak lebih daripada itu.

Dilabel sebagai antara rancangan paling jahat di Malaysia sebaris dengan Buletin Utama yang menjadi anjing dan lidah kerajaan, sudah tentu rancangan ini menyajikan keburukan dan kejahatan yang amat busuk. Tak habis-habis terjah kisah cinta artis, kisah pertunangan artis, kisah tangkap basah, dan lain-lain. Tak kurang juga, kisah saiz buah dada seorang artis wanita juga ditanya secara terbuka. Oh, kebusukannya tetap tercium walaupun hanya sekadar menonton di televisyen.

Sedar tak sedar, alam internet juga ada 'rancangan Melodi'. Inilah yang dikatakan blog-blog yang tak sudah-sudah mencanang kisah peribadi artis dan individu lain. Spekulasi pertunangan orang pun nak dicanang, di mana kisah itu entah betul entah tidak, sehingga spekulasi itu mengakibatkan berakhirnya pertunangan pasangan tersebut. Lihat, keji dan busuknya blog dan blogger ini! Tanggunglah dosa sehingga mengakibatkan perpecahan orang lain, buruk sangka, dan fitnah yang ditabur!



Sudah tentu, blogger tersebut sedang mengalami kecelaruan pemikiran dan ketandusan idea untuk blogging. Dan juga, blogger tersebut adalah blogger yang gila trafik kerana mencanang kisah sensasi orang lain. Permainan sandiwara alam ini begitu jijik dan kotor, sehingga merosakkan hubungan orang lain dan dicanang tanpa mengira perasaan orang lain! Kalau nak buat sangat, hadirkanlah rasa empati. Letakkan diri anda di tempat mereka. Kalau anda tak mampu nak letakkan diri anda di tempat mereka, letakkan mak bapak anda di tempat mereka. Bayangkan kisah cinta mak bapak anda dicanang dan dispekulasikan di 'blog Melodi' sehingga menyebabkan mak bapak anda bercerai. Suka?

Inilah sebenarnya serangan pemikiran yang telah lama dilancarkan oleh golongan yang sangat memusuhi Islam. Hollywood buat gosip, Malaysia pun nak buat gosip. Apa sahaja yang dibuat oleh kaum Yahudi dan Nasrani, akan turut dijejaki oleh umat Islam. Hal gosip ini jangan diambil remeh, kerana perkara ini merupakan serangan pemikiran yang berjaya ditunjangkan di hati umat Islam.

Maksud hadis:
Rasulullah SAW: “Daripada Abu Sa’id al Khudri ra, beliau berkata : Rasulullah SAW pernah bersabda : “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?” Nabi SAW menjawab : “Siapa lagi kalau bukan mereka?” [HR Muslim]

Tatkala kewajipan belum terlaksana, kita sangat sibuk menjaja kisah putus tunang orang. Tatkala umat Islam dibunuh, dirogol, diseksa, dan dizalimi, kita sangat sibuk menerjah individu-individu dengan soalan-soalan yang bersifat peribadi.

Alangkah mulianya umat kita sebagai umat Islam, menyibukkan diri untuk berdakwah dan berjuang untuk menegakkan Daulah Khilafah. Tidakkah kita berasa malu dan hina, Khilafah belum tertegak dan kita sibuk menjaja kisah peribadi orang lain?

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)..." [TMQ Aali 'Imran(3):110]
Selanjutnya...

28 July 2011

Jenis-jenis dan Fesyen Tudung

Fesyen tudung. Siapa yang tak ambik tahu pasal fesyen tudung kontemporari? Kalau tak ambik tahu pasal fesyen tudung, jom baca kat sini. Yang memang ambik tahu pasal fesyen tudung, digalakkan baca. Mungkin anda terlepas pandang fesyen tudung yang beredar mengikut aliran zaman.


1. Tudung Nasi Lemak
Pernah tengok nasi lemak ikan bilis? Kat daun pisang tu, ada sedikit terbuka dan menyebabkan ikan bilis tu terkeluar kerana daun pisang tak menutup rapat bungkusan nasi lemak tu. Sebab tu fesyen tudung ni dinamakan 'Tudung Nasi Lemak'.


2. Tudung Bukit
Memakai tudung, tapi kedua-dua bukit ditayang dengan sengaja untuk tatapan percuma. Tak kisahlah apa saiz bukit tu. Tetap nak tayang percuma jugak. Bila diperhatikan, bangga sampai hidung kembang semangkuk. Alahai, mudahnya bagi tayangan percuma. Kalau dah bagi tayangan percuma, nak bagi apa kat suami nanti? Suami anda setaraf dengan orang asing kah sampai apa yang suami anda sahaja yang berhak lihat, anda sudah tayang percuma kepada orang lain.


3. Tudung Sarung Nangka
Pakai tudung ketat sampai menampakkan segala yang ada di kepala, sehingga menampakkan bentuk telinga sekalipun. Kalau kat telinga tu ada 7 subang, semuanya nampak bentuk. Inilah fesyen tudung sesat yang semakin menjadi aliran muslimah masa kini. Ikut artis katakan...




4. Tudung Alien
Dinamakan tudung alien, sebab kepala si pemakai tudung ini meman sebijik dengan kapala alien. Tudung ini juga dikenali sebagai tudung bonggol unta.

Maksud hadis: "Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni Neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor Iembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya" [HR Muslim]



5. Tudung Papa Kedana
Kebanyakan yang pakai tudung ni adalah golongan minah rempit sekolah. Pakai tudung sebagai syarat masuk sekolah sahaja, bukan ikut hukum syarak. Masakan tidak, tudung singkat sampai nampak tengkok. Love bite kat leher pon boleh nampak. Mungkin terlalu papa kedana sampai tudung yang labuh sikit pun tak mampu nak beli. Bukan papa kedana bab ekonomi, tapi lu fikirlah sendiri...



6. Tudung Dato'
Ni, tak tau nak terangkan macam mana... Tak terkata. Fesyen? Entah... Mungkin pembaca lebih arif


7. Tudung Apa Jadah Entah?
Ini satu masalah besar lagi. Tudung yang artis ni pakai, mesti jadi ikutan para remaja, seolah-olah artis ni adalah seorang nabi untuk dijadikan ikutan. Alahai artis, berhentilah kalian daripada terus memesongkan ummat daripada ajaran Islam yang sebenar.


8. Tudung Muslimah
Inilah tudung yang benar-benar menyejukkan mata memandang. Mengikut hukum syarak, tidak menonjol, sopan, dan tertib. Tidak jarang, tidak ketat, dan menutup dada :)

Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. [ TMQ an-Nur(24):31]

*****

Entry sentap lagi. Maaf. Bukan nak menghentam kaum wanita. Cuma nak sentap je. Baguslah kalau anda terasa. Tapi terasa je tak cukup. Semoga kalian menjadi muslimah sejati yang menjadi pendokong deen Allah. Amin... :)




Selanjutnya...

24 July 2011

Alasan Bangang Mengelak Solat


Pernah tak ajak adik-beradik atau kawan-kawan korrang untuk tunaikan solat? Tanggungjawab kita bukan saja tunaikan solat, tapi menjadi tanggungjawab kita untuk ajak saudara seislam kita untuk tunaikan solat, lebih-lebih lagi solat berjamaah.

Tapi entah kenapa, paling lama pun 15 minit je untuk tunaikan solat, ramai yang mengelat. Main bola terkejar-kejar atas padang boleh pulak? Ayat-ayat kat bawah ni, mungkin korang biasa dengar...

1. "Gi dulu... Gi dulu..."
Ini ayat rasmi untuk orang yang mengelat solat. Kononnya suruh kita pergi dulu, nanti dia datang. Tunggu punya tunggu, tak muncul-muncul jugak.

2. "Aku pakai seluar pendek ni... Mana boleh solat"
Dah ko pakai seluar pendek tu, sapa suruh? Sapa suruh dedahkan aurat? Aurat lelaki (antara pusat hingga lutut) adalah dalam semua keadaan, kecuali bersama isteri tau tak? Dedah aurat boleh, solat tak boleh pulak. Pelik... pelik...

3. "Aku berpeluh ni..."
Mak aihhh... berpeluh punya pasal, tak nak solat? Peluh tu najis ke, bang? Lainlah peluh yang ko keluarkan tu, keluar air kencing.


4. "Baju aku kotor..."
Baju kotor, boleh solat lagi. Kotor tu bukannya najis, cuma lebih baik berpakain kemas dan bersih untuk menghadap Allah. Tapi lebih baik solat dalam berpakaian kotor daripada terus tinggalkan solat. Ye dak?

5. "Tunggu aku habis main game jap..."
Nanti ko main game dengan Mungkar dan Nakir ye?

6. "Sibuk kerja... Tak sempat"
Kerja berjam-jam boleh. Nak solat, 15 minit tak boleh. Sedarlah, rezeki tu, Allah yang bagi. Bila-bila je Dia boleh tarik. Syirik kalau kita yakin kerja yang bagi kita rezeki!


7. "Nantilah aku solat"
Ada orang yang ingatkan kita solat pun kita boleh nak tangguh-tangguh. Kalau takde orang yang ingatkan, lagilah teruk. Dengan manusia, kita nak tepati masa. Tapi, dengan Allah, kita buat acuh tak acuh je. Tapi, bab nak solat di awal waktu ni memang payah. Nilainya begitu mahal. Beruntung kita kalau kita dapat jaga solat 5 waktu di awal waktu.

*****

Tajuk entry sentap sikit. Sebab kadang-kala perlu sentap-menyentap sikit golongan macam ni. Peringatan untuk diri sendiri juga...
Selanjutnya...

22 July 2011

Muslihat Puak-puak MLM [Bhg. 1]


MLM? Siapa tak tahu apa itu MLM? Multi Level Marketing. Hukum sertai MLM adalah haram. Kali ni, aku nak cerita sikit tentang muslihat dan penipuan yang digunakan oleh puak-puak MLM ni. Lebih molek lagi, kita tukar jadi 'Menipu Larut Malam'. Moga-moga kita tak diperdaya. Aku dah kena tipu dengan diorang ni beberapa kali. Apa yang aku tulis ni, adalah pengalaman aku sendiri. Kalau korang ada pengalaman, boleh tambah kat ruangan komen ye.

1. Kalau korang tanya perniagaan apa yang dia buat sekarang, dia akan bermati-matian merahsiakan perniagaan tu. Kalau orang buat perniagaan, buat apa nak sorok-sorok? Sepatutnya perniagaan tu dihebahkan lagi untuk mendapat publisiti. Tapi tidak bagi mereka. Mereka hanya akan cerita kalau ada fail-fail dan katalog-katalog mereka yang diterangkan oleh otai puak Menipu Larut Malam.

2. Guna kereta yang besar-besar, kononnya dah berjaya dalam 'perniagaan' mereka. Tapi entah kereta sapa diorang guna. Kereta bapak dia kot. Tak pun kereta tokey Menipu Larut Malam. Saja pakai kereta besar untuk buat wayang.

3. Kawan korang ni memang jenis tak contact korang. Tiba-tiba suatu hari, beliau SMS atau tepon korang nak ajak lepak kedai mamak. Bila ditanya, diorang akan jawab, "Ala... Saja nak jumpe ko... Lama tak jumpe ko". Tapi bila dah sampai kedai mamak, segala macam fail diorang bawak keluar. Tunjuk fail bagai yang kononnya menunjukkan kejayaan mereka dalam bidang Menipu Larut Malam.

4. Ada jugak, diorang kata diorang buat bisnes bukan MLM. Bermati-matian menafikan mereka tak terlibat dalam MLM. Bila jumpa, memang sah kutu MLM. Ni memang buat aku terbakar. Aku fikir kawan aku je masa tu...

5. Mereka akan libatkan golongan agama untuk menjustifikasi tindakan mereka. Contohnya, mereka akan kata mereka ada panel syariah. Walhal, memang senang-senang boleh bayar ustaz dunia ni. Satu lagi, mereka akan kata haji itu, haji ini ada sertai 'perniagaan' mereka.

6. Gunakan ayat-ayat manis untuk pancing korang, lebih-lebih lagi supaya korang cepat mendapat orang bawah atau 'downline'. Sebab, kalau korang yang cari, orang atas jugak yang dapat habuan.

7. Kerja hanya 2 jam satu hari. Ayat ni biasa dah. Kalau bukan MLM, memang saja je. MLM je kot kerja 2 jam sehari.

8. Kononnya mereka ni jual barang. Pada hal, jual barang tu cuma sampingan je untuk kaburkan mata orang. Harga barang pon mahal giler-giler. Contohnya, ubat gigi sampai RM12. Kopi sampai RM60, dan macam-macam lagi barang yang mahal nak mampos dan tak masuk akal.

9. Bagi pakej umrah kat ahli. Nampak islamik sikit.

10. Sanggup menipu korang supaya korang pergi ke majlis 'talk' diorang. Aku pernah kena tipu, kononnya ada majlis student UTM, untuk bantu budak-budak lepasan SPM. Tengok-tengok, talk Menipu Larut Malam rupanya.

11. Kalau jumpa mangsa, akan bawak duit tebal-tebal untuk buat 'serangan psikologi'. Entah mana diorang ambik duit tu. Entah-entah duit cetak rompak.




Bersambung...
Selanjutnya...

19 July 2011

Gelaran 'Syeikh' untuk Siapa?


Terdetik aku nak kongsi secebis ilmu yang aku ada. Satu ilmu yang disampaikan oleh seorang ilmuwan yang bernama Ustaz Zahazan Mohamed. Percakapannya memang berisi dan tersusun, diindahkan lagi dengan dalil-dalil yang dibaca kemas.

Dalam satu siri ceramahnya dalam radio, ada satu selingan tentang gelaran 'syeikh'. Katanya, gelaran syeikh boleh dipanggil kepada dua golongan, iaitu:

1. Golongan yang Berumur
Panggilan syeikh boleh dipanggil kepada orang-orang yang berusia emas, atau lebih sedap dipanggil orang yang banyak pengalaman. Biasanya dipanggil pada golongan yang berusia 40 atau 50 tahun.

2. Golongan yang Tinggi Ilmu Agamanya
Panggilan ini bukan sahaja untuk golongan veteran. Panggilan ini juga boleh dipanggil pada orang yang tinggi ilmu agamanya. Inilah suatu panggilan yang memuliakan orang-orang yang faqih tentang Islam, yang berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Contoh-contoh yang biasa kita dengar, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani (seorang ulama mujtahid mutlak), Syeikh Yusuf Estes (seorang muallaf yang tinggi ilmu agamanya), Syeikh Abdul Qadir Jailani (seorang ulama dahulu kala), dan lain-lain

Jadi, kepada kawan-kawan yang panggil aku dengan gelaran 'syeikh', mintak anda semua hentikan tindakan anda itu. Haha. Ada sebab yang kukuh kenapa aku tak bagi anda semua panggil aku 'syeikh':

1. Aku ni muda lagi. Dah la muda, kacak pulak tu. Jadi, panggilan 'syeikh' tak valid bagi aku. Kerana masih belum cukup umur untuk digelar 'syeikh'. Yang penting, muda dan kacak.

2. Aku ni tak tinggi ilmu agama. Masih jahil. Apa yang aku tulis kat blog ni sekadar perkongsian-perkongsian yang terlalu kecil. Ilmu pun secebis sahaja. Jadi, atas alasan ini juga, gelaran 'syeikh' tak valid bagi aku.

Paham? Hahahaha... Jangan marah. Sekian...
Selanjutnya...

18 July 2011

Maksiat Haram di Bulan Ramadhan, Halal Bermula Bulan Syawal.



Penghulu segala bulan bakal menjelma. Keinsafan turut terlayar pada hati umat Islam yang benar-benar ingin mengambil manfaat daripada bulan latihan ini. Justeru, ia perlu dihormati dengan tidak melakukan maksiat yang sebelum ini biasa dilakukan. Contoh terbaik adalah penutupan premis-premis maksiat di Kedah di sepanjang Ramadhan.

Inilah suatu pemahaman yang keliru, di mana premis-premis maksiat tersebut hanya ditutup pada bulan Ramadhan sahaja. Kononnya, untuk menerapkan hukum-hakam Islam, kita perlu menggunakan konsep beransur-ansur (tadarruj). Sedangkan, al-Quran telah lengkap diturunkan 1400 tahun lampau. Maka, sudah tiada lagi persoalan sedikit demi sedikit atau beransur-ansur kerana hukum Islam telahpun lengkap diturunkan.

"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu"
[TMQ al-Maaidah(5):3]

Jika dilihat dari satu aspek lagi, kekeliruan ini cukup membunuh pemikiran umat Islam. Sekiranya premis-premis maksiat tersebut hanya ditutup pada bulan Ramadhan, adakah ianya halal untuk dibukan bermula pada bulan Syawal? Di saat umat Islam meraikan kemenangan menahan hawa nafsu, 'satu lagi perayaan' pula disambut di premis-premis maksiat. Ini bermakna, bermula Syawal, umat Islam dan orang kafir boleh berjoget, minum arak, dan melakukan maksiat bermula bulan Syawal.

Sewajarnya, para pemerintah mengharamkan terus pusat-pusat maksiat itu. Tidak sepatutnya timbul isu 'menghormati agama lain'. Dalam pemerintahan Islam, orang-orang kafir tidak perlu ke pusat-pusat maksiat untuk minum arak, kerana mereka tetap dibenarkan meminum arak di tempat yang tertutup.

Usaha menutup pusat-pusat hiburan ini nampak baik. Tetapi sayangnya ianya hanya berlaku pada bulan Ramadhan. Seolah-olah ianya halal pada bulan-bulan berikutnya. Inilah kekeliruan terhadap kesucian bulan Ramadhan.
Selanjutnya...

15 July 2011

Cinta Cinta Cinta! Takda Benda Lain nak Buat?


Drama cinta, filem cinta, lagu cinta, novel cinta... Apa lagi yang bukan cinta di persada seni tanah air? Semuanya berkisarkan cinta, baik seni muzik, penulisan, layar perak, dan sebagainya. Cinta seolah-olah menjadi nadi dalam dunia seni.

Hatta, akhir-akhir ini, novel cinta islamik terlalu banyak diterbitkan. Memang novel cinta islamik amat digalakkan untuk diterbitkan, untuk mendidik masyarakat tentang cinta suci suami-isteri. Tetapi, penerbitan novel cinta Islamik yang begitu 'pesat' nampak gayanya telah menimbulkan ketidakseimbangan dalam membentuk masyarakat menuju ke arah masyarakat yang Islami. Ini adalah kerana, umat Islam dibuai 'arus cinta sejati' setelah membaca novel-novel cinta itu. Lantas, kewajipan yang lebih utama seperti menegakkan sebuah negara Islam (Daulah Khilafah) telah diabaikan. Walhal, kewajipan menegakkan Daulah Khilafah adalah suatu kewajipan yang tertangguh, sejak 3 Mac 1924.

Sejak novel cinta Islamik seperti Ayat-ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih, Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul diterbitkan, para penulis berlumba-lumba untuk menerbitkan lebih banyak novel cinta Islamik. Ya, TIDAK DINAFIKAN, novel-novel ini sangat bagus, sehingga menjadi pencetus dalam jiwa masyarakat. Tetapi, mengapa para penulis novel yang berlumba-lumba ini tidak menjadi pencetus kebangkitan umat Islam di serata dunia? Adakah umat akan bangkit dan menjadi gagah perkasa dengan bercinta sepenuh hati dan mengalunkan bait-bait sajak yang puitis lagi romantis di hadapan kekasih hati mereka?

Lihat, penerbitan novel cinta Islamik yang tidak seimbang (berlebih-lebihan) juga mampu untuk melalaikan masyarakat. Apa lagi bahan-bahan hiburan cinta yang tidak Islami? Tiada langsung unsur-unsur aqidah, hukum syarak, dan akhlak dalam hiburan cinta masa kini. Mana mungkin masyarakat akan dibentuk menjadi masyarakat Islami dengan hiburan cinta ini?



Entah apa yang berlegar di fikiran penggiat seni tanah air. Pemikiran mereka masih dibelenggu arus hedonisme dan pemikiran yang berlandaskan manfaat semata-mata. Ya lah, manfaat dari segi keuntungan hasil daripada penjualan novel-novel, lagu-lagu, dan sebagainya. Sepatutnya, mereka menggunakan kemahiran seni yang dianugerahkan oleh Allah SWT untuk menggerakkan umat menuju kebangkitan yang hakiki, bukan melemaskan masyarakat dengan bait-bait puisi cinta yang menghanyutkan.

Lagi, mungkin kita terlepas pandang. Akhir-akhir ini terbit (dah tamat dah pun) drama dan filem 'cinta islamik', Nur Kasih. Apa lagi kalau bukan berkisar tentang cinta. Cinta cinta cinta. Lebih menggeletek, kononnya drama dan filem ini membawa mesej Islam. Sedar mahupun tidak, drama dan filem ini cukup mengelirukan masyarakat. Kononnya mereka membawa mesej Islam yang syumul, walhal, mesej Islam itu dirosakkan dengan adegan-adegan 'yang sangat Islamik', iaitu berpegangan tangan dan bersentuhan sesama mahram. Bukan itu saja, adegan mendedahkan aurat juga tidak terkecuali. Alahai, Islamiknya drama dan filem ini!

Apapun, inilah realiti persada seni tanah air. Masih belum dapat melepaskan diri daripada belenggu dan ikatan hedonisme. Semuanya gara-gara penerapan hukum sekular oleh pemerintah yang jelas terpampang kebobrokan mereka. Berhibur tidak dilarang dalam Islam, tetapi mestilah mengikut panduan daripada Yang Maha Bijaksana. Tetapi, hukum-hakam Islam mustahil untuk diterapkan tanpa adanya Daulah Khilafah.
Selanjutnya...

14 July 2011

Belajar Bahasa Asing Hanya untuk Mencarut?


**** you! ****! mother *****! Macam-macam lagi yang boleh kita dengar. Mungkin para pembaca lebih arif bab carut-mencarut ni. Kalau tahu lebih-lebih pasal mencarut, tolong jangan mencarut ya, lebih-lebih lagi di ruang chatbox dan komen blog yang bergaya ni.

Sebut pasal mencarut, seperti yang dinyatakan di atas, macam-macam lagi kita boleh dengar. Bermacam-macam nama organ disebut, tak kira organ lelaki mahupun perempuan, dan juga organ yang tiada pada si pencarut juga disebut-sebut. Entah kenapa suka sangat sebut-sebut nama organ yang begitu sulit...

Lazimnya, si pencarut akan menyebut perkataan-perkataan lucah. Kalau sebut bab lucah, pasti ia akan menaikkan nafsu syahwat. Tapi tidak pada mencarut. Ia tidak akan mengghairahkan si pendengar, tapi akan menaikkan kemarahan si pendengar. Tapi tak tahulah kalau-kalau ada yang terangsang apabila carutan berdesing di telinga. Mungkin nafsu luar biasa.


Berbalik kepada topik asal yang berkisar tentang mencarut. Orang yang mencarut biasanya akan memahami bahasa carutan asing. Orang Melayu akan tahu apa yang disebut oleh orang Cina dan India untuk mencarut. Apa yang lebih menyedihkan, ada juga di kalangan kita yang belajar bahasa asing semata-mata untuk mencarut. Contohnya, belajar bahasa Inggeris untuk mencarut. Sikit-sikit f***! sikit-sikit f***! Tapi bab nak bertutur dalam Bahasa Inggeris, tergagap-gagap pulak.


Adakah belajar bahasa asing semata-mata untuk mencarut? Lebih baik belajar bertutur bahasa asing daripada belajar mencarut semata-mata. Tapi, perkataan mencarutlah yang paling mudah disebut dan diingat. Perkataan dan ayat-ayat lain cukup susah untuk diingat dan disebut kan? Dan perkataan mencarut juga merupakan perkataan yang paling diingini untuk dipelajari. Kenapa ye? Buktinya, David Beckham yang berpindah dari Manchester United ke Real Madrid, dengan cepat dapat mempelajari Bahasa Sepanyol. Itupun digunakan untuk memaki pengadil dalam Bahasa Sepanyol.

Satu lagi, Bila dah faham bahasa mencarut tu, suka disebut-sebut dan diulang-ulang berkali-kali sampai tergelak-gelak. Orang yang menyebut akan tergelak berguling-guling, orang yang sedia maklum tentang bahasa carutan itu mengetap bibir menahan marah.

Selepas ini, harap kita jangan berfikir, dengan mempelajari bahasa mencarut asing, ia adalah lambang perpaduan. Ia adalah salah sama sekali. Inginkan perpaduan, tak perlu belajar bahasa mencarut. Tapi, setakat ni belum pernah dengar lagi mencarut dalam Bahasa Arab. Mungkin kerana Bahasa Arab adalah bahasa al-Quran, maka orang lain segan untuk belajar bahasa mencarut versi Arab.
Selanjutnya...

13 July 2011

Kereta Mayat vs Kereta MyVi: Mana LAGI BEST?



Tatkala otak mula tersumbat...
Kepenatan mula menghambat...
Aku hanya mampu menulis secebis entry ringkas tapi padat...
Tanpa memerah keringat...
Semoga kita sentiasa beringat-ingat...
Selanjutnya...

10 July 2011

Baldwin Street: Jalan Paling Curam di Dunia



Baldwin Street, terletak di bandar selatan New Zealand, Dunedin. Jalan ini mempunyai 350 meter panjang dan 19 darjah bagi kecerunan maksimum.

Kalau turun, memang sangat seronok lebih-lebih lagi kalau tunggang basikal. Kalau naik, sampai rumah pun tak habis mengah lagi. Haha.

Jom kita tengok video kat atas dan beberapa gambar kat bawah ni:















*****

Ini pun sebahagian daripada KEBESARAN ALLAH juga kan? :)
Selanjutnya...

SEMINAR MUSLIMAH :PENDIDIKAN KESIHATAN REPRODUKTIF DAN SOSIAL (PKRS) : Tindakan Sesaat Atau Penyelesaian Yang Tepat? [Sticky Post]

Undangan ke SEMINAR MUSLIMAH :PENDIDIKAN KESIHATAN REPRODUKTIF DAN SOSIAL (PKRS) : Tindakan Sesaat Atau Penyelesaian Yang Tepat?


Tarikh: 10 JULAI 2011 (AHAD)
Masa: 9.00 pagi - 12.30 tghr
Tempat: Masjid Al-Syakirin,
Km 9, Jalan Gombak,
53100, Kuala Lumpur

Semua MUSLIMAH diundang hadir. LELAKI dilarang masuk, sama ada kacak ataupun tidak. Masuk PERCUMA. Kalau konsert Justin Bieber yang kena bayar beratus-ratus ringgit boleh pergi, kenapa yang percuma tak boleh pergi? Tepuk dada tanya selera iman.

Selanjutnya...

09 July 2011

Jawapan UZAR Berkaitan Riba dalam Perbankan Islam



(lihat minit ke 6.20) UZAR kata riba halal kerana

1) Ulama OIC kata halal

2) Supaya org tak ambil kesempatan

3) Jadikan sebagai sedekah


Sanggahan:

1) Ulama OIC bukan Tuhan smpai boleh halalkan apa yang haram.

2) Itu bukan dalil riba halal. Alasan darurat juga tidak boleh diterima kerana ini bukanlah kes darurat. Kalau macam tu, bank konvensional pun boleh bagi alasan yang sama.

3) Juga bukan dalil. Kalau mcm tu mencuri dan merompak pun boleh ke jika hasil curian dan rompakannya disedekahkan? Lagi satu, kalau bank sedekah semua hasil ribanya, dia nak dapat untung dari mana (kerana income bank hanyalah daripada riba (isu penipuan dalam murabahah, AITAB dan lain2 kita akan bincang lain kali dan kita boleh interview mangsa-mangsa penipuan perbankan Islam)

UZAR juga didapati memetik kaedah Imam mMaliki yang langsung tiada kaitan dgn riba. Saya hairan, kenapa masih ramai yang taksub kpd UZAR. wahai UZAR takutlah kamu kepada Allah!

Ada orang bertanya mengenai alternatif. Ketahuilah, tidak semua benda haram ada alternatif. Sebagai contoh, arak haram, apa alternatif arak? Jika kita mengikut sistem ekonomi yang diatur oleh Sslam, kita tidak perlukan bank langsung.

ya Allah, saksikanlah, sesungguhnya saya telah cuba menyampaikan kebenaran kpd umat Islam
wallahu a'lam


Dipetik dari: Sumber

FYI: UZAR sangat tak berpuas hati dengan Hizbut Tahrir, kerana Hizbut Tahrir menentang idea-ideanya yang melanggar syarak. Sayangnya, apabila ditegur, dikatanya pula pemuda-pemuda Hizbut Tahrir asyik dan menang dan tak pernah salah.

Renungan:

"Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya". [TMQ al-Baqarah:275]

Beginilah... sanggup menghalalkan riba. Benar kata Allah. Mereka ini 'gila'.
Selanjutnya...

06 July 2011

Ulasan Video Kebiadapan Pekerja KFC

video
video


Isu hangat tentang kebiadapan pekerja KFC sedang berlegar-legar di ruang internet tanah air. Bloggers pun mengambil peluang ini untuk menyuarakan pendapat masing-masing tentang perkara ini. Sesungguhnya, terlalu ramai yang sakit hati setelah menonton kedua-dua video di atas. Selepas satu, satu lagi video yang keluar. Mungkin selepas ini akan ada lagi video baru.

Kebiadapan pekerja tersebut amat memalukan dan menyakitkan hati. Makanan yang dijadikan darah daging diperlaku sedemikan hina untuk keseronokan. Keseronokan jelas terpancar apabila kita dapat dengar sendiri mereka gelak terkekeh-kekeh. Seronok melakukan pengkhianatan!

Apa yang memalukan, seperti yang kita tahu, mereka itu berbangsa Melayu, dan Melayu adalah sinonim dengan Islam. Mereka telah memalukan bangsa Melayu, dan secara tidak langsung telah memalukan agama Islam. Lihat, betapa besarnya pengkhianatan mereka terhadap Islam! Walhal, Nabi Muhammad SAW adalah seorang pekerja yang sangat amanah dan berbudi pekerti mulia.

Apa yang pasti, inilah kerosakan dan kebejatan yang berlaku tatkala Islam tidak didaulatkan dalam kehidupan. Umat manusia tidak dididik untuk beramanah. Sekalipun kita tidak terdaya untuk 100% amanah, di mana rasionalnya membuat perlakuan keji seperti yang dipaparkan dalam video di atas? Sistem pendidikan hari ini jelas mempamerkan kegagalan. Sekolah yang menjadi barisan terawal dalam proses pentarbiyahan dilihat secara umumnya, gagal untuk mencetak generasi yang takutkan Allah. Bahkan, lahir generasi yang berani melanggar amanah, lalu dengan berani pula merakam aksi-aksi khianat tersebut. Pekerja-pekerja lain juga tidak menghalang tindakan tersebut. Tetapi cukup sekadar bertanya, "buat apa tu?". Hakikatnya, mereka juga bersubahat dengan pengkhianat itu.

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui." [TMQ Al-Anfaal(8): 27]

Imbas kembali peranan Nabi SAW dalam membantu dan mengembangkan perniagaan Saidatina Khadijah RA. Baginda SAW adalah seorang pekerja yang teramat-amat jujur. Satu sen pun tidak pernah dicuri oleh Baginda SAW. Kebijaksaan insan ini juga telah menyebabkan perniagaan Saidatina Khadijah RA berkembang maju. Inilah contoh tauladan terbaik. Tetapi sayang seribu kali sayang. Pekerja-pekerja KFC yang celaka itu sangat berani melanggar amanah dan menghina rezeki Allah SWT.

Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a., ia berkata (maksudnya), "Suatu ketika Rasulullah saw. berkhutbah di hadapan kami, dalam khutbahnya beliau berkata, "Tidak ada iman bagi yang tidak memiliki sifat amanah. Dan, tidak ada agama bagi yang tidak menepati perjanjian"." (Shahih, Ahmad [III/135, 154, 210 dan 251], al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah [38], Ibnu Hibban [194], al-Baihaqi [IV/97, VI/288 dan IX/231], al-Qudha'i dalam Musnad asy-Syihaab [848, 849 dan 850])

Apapun, kita tidak seharusnya menghukum KFC secara keseluruhan. Bukan semua pekerja mereka celaka seperti pekerja-pekerja dalam video itu. Apa yang diharapkan, pihak KFC mengambil langkah-langkah yang proaktif lagi Islami untuk membendung masalah ini. Diharapkan juga, KFC dapat menyediakan makanan yang halal lagi baik.
Selanjutnya...

05 July 2011

Kecelaruan Pemikiran Pengkaji Teori Konspirasi


Beberapa minggu lepas, aku ada kenal dengan sorang mamat melalui fankpage Oh! Media
. Dia nampak berminat dengan Islam, dan aku fikir dia ni boleh dijadikan contact dakwah.

Kemudian, aku pun chat dengan dia. Sembang-sembang pasal Islam. Lama-kelamaan, makin mengarut. Rupa-rupanya pengkaji teori konspirasi. Patutlah mengarut, merepek, meraban, dan melalut. Hujah-hujahnya ada yang tak masuk akal dan aku rasa macam nak tempeleng je kalau ada depan aku. Namun alhamdulillah aku masih dapat mengawal emosi aku pada ketika itu.

Cara dia nak tegakkan Islam, adalah mengarut dan seolah-olah, untuk menegakkan Islam, perlu ada kelebihan-kelebihan tertentu untuk menegakkan Islam. Kerana dia ni boleh melihat MASJID GHAIB. Itu katanya... Kebenarannya aku tahu sejauh mana. Walhal, menegakkan Islam tak perlukan syarat seperti itu dan SETIAP MUSLIM wajib berdakwah dan memperjuangkan Islam. Dia jugak mengaku bahawa dia terlibat dalam KABINET IMAM MAHDI dan menyatakan akan ada huru-hara pada tahun 2012. Terpengaruh dengan filem?

Aku siap ajak dia minum untuk perbincangan lanjut. Tapi dia menolak dengan alasan dia 'telah membocorkan banyak rahsia'. Bocor rahsia kat facebook boleh, tapi nak berbincangan di alam nyata tak berani pulak! Akhirnya, dia offline setelah aku mendesak untuk berjumpa dia.

Jom kita tengok perbualan aku dengan dia. Aku sempat print screen beberapa perbualan penting. Mohon komen anda...





















Selanjutnya...

02 July 2011

Peristiwa 28 Rejab yang Disorokkan


Seperti yang kita sedia maklum, peristiwa 27 Rejab menukilkan suatu sejarah yang amat penting bagi dunia Islam, yakni peristiwa Israk Mi'raj. Walaupun sudah beberapa hari, malah beberapa minggu selepas 27 Rejab, peristiwa ini masih dicerita dan diceramahkan di rumah-rumah Allah. Tidak kurang juga para khatib berkhutbah tentang perkara ini.

Tapi, adakah kita tahu tentang perkara yang berlaku sehari selepas 27 Rejab? 28 Rejab juga merupakan suatu peristiwa yang teramat penting, tetapi adakah kita tahu peristiwa apakah itu? Peristiwa ini terus disorokkan, agar umat Islam melupakannya dan tidak bangkit-bangkit.

Pada 28 Rejab 1342H, satu-satunya institusi politik Islam, yakni Negara Khilafah secara rasminya dijatuhkan oleh Mustafa Kemal Atarturk Laknatullah. Inilah bayaran yang diberikan kepada pihak British supaya beliau menjadi presiden Turki yang pertama dan digelar Bapa Pemodenan Turki.

Sejak peristiwa ini, kita sebagai umat Islam telah kehilangan sebuah perisai yang selama ini melindungi kita selama ini. Umat Islam disembelih, dibunuh, dirogol, dan dibuli oleh musuh-musuh Islam tanpa pembelaan. Sistem-sistem yang diturunkan oleh Allah SWT seperti sistem ekonomi, sistem pendidikan, sistem pergaulan, sistem pemerintahan, dan lain-lain dimansuhkan dan digantikan dengan sistem demokrasi yang datang daripada aqidah kufur.

"Sesungguhnya seorang Imam (Khalifah) adalah laksana perisai, di mana orang-orang akan berperang di belakangnya dan menjadikannya sebagai pelindung (bagi dirinya)" [HR Muslim]

Umat Islam juga diselubungi arus sekularisme sejak kejatuhan Khilafah, di mana umat Islam sangat benci akan politik dan menganggap politik itu adalah mainan kotor. Lalu, sebilangan besar umat Islam hanya menganggap Islam hanya mengatur kehidupan dari segi ibadah seperti solat, puasa, berzakat, berzikir, dan lain-lainnya yang bersifat kerohanian sahaja.

Penolakan umat Islam dari segi politik dilihat sebagai suatu perkara yang membunuh pemikiran. Umat Islam mundur dari segala segi kemajuan, sama ada kemajuan teknologi mahupun ekonomi sejak Islam tidak menjadi kuasa besar politik dunia 1300 tahun lampau. Kemunduran umat Islam jelas terpampang pada hari ini. Apple, dibangun oleh siapa? Samsung, dibangun oleh siapa? Intel, dibangun oleh siapa? Walhal, ilmu-ilmu sains, teknologi, geografi, sejarah, dan pelbagi jenis ilmu telah dicarigali oleh ilmuwan-ilmuwan yang beriman seperti Ibnu Sina, Jabir Hayyan, al-Idrisi, al-Khwarizmi, al-Jahiz, al-Farabi. Tetapi, apakah realiti umat Islam hari ini? Umat Islam hari ini sangat mundur dan hanya berdakwah untuk mengimarahkan masjid sahaja!

Islam tidak pernah mundur, tetapi umatnya sahaja yang mundur sejak Islam tidak menjadi kuasa besar politik dunia, sejak Khilafah dijatuhkan secara rasmi pada 28 Rejab 1342H. Dan perkara ini terus disorokkan. Dan apabila diberitahu, ramai pula umat Islam yang menolak dengan alasan bahawa penegakan Khilafah setelah kejatuhannya adalah utopia semata-mata. Walhal, ia adalah janji Nabi SAW yang bermaksud:

"...Kemudian, akan kembali Khilafah di atas jalan kenabian..." [HR Ahmad]

Ada juga yang terus menolak dan hanya menfokuskan pengimarahan masjid sahaja dan terus menganggap politik itu kotor oleh kerana melihat warna politik UMNO dan PAS yang asyi bertelagah, tanpa melihat kepada politik Nabi SAW dan para sahabat.

Anda telah tahu peristiwa 28 Rejab. Adakah anda mahu berdiam diri ataupun menyebarkan perkhabaran ini? Anda mahu menyorok kebenaran atau penyebar kebenaran? Ada peringatan dan khabar gembira daripada Allah SWT dan Nabi SAW:

"Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Al Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (mahluk) yang dapat melaknati" [TMQ al-Baqarah(2):159]

"Barangsiapa yang ditanya mengenai suatu ilmu, lalu dia menyembunyikannya, maka dia akan dikekang pada hari kiamat dengan api". [HR Ibnu Majah dan al-Hakim]

"Tetapi Rasul dan orang-orang yang beriman bersama dia, mereka berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan mereka itulah orang-orang yang memperoleh kebaikan, dan mereka itulah orang-orang yang beruntung". [TMQ at-Taubah(9):88]



Jom usyar blog ni. Banyak info tentang isu umat Islam:
Ar Rayah World News
Selanjutnya...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...