
Earth Hour dijalankan 26 Mac setiap tahun. Motifnya adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dunia tentang perubahan iklim dunia. Negara-negara yang terlibat akan bergelap selama 1 jam, bermula 8:30 pm - 9:30 pm waktu tempatan.
Kuala Lumpur juga tidak terlepas daripada terlibat dalam aktiviti ini. Adakah kita mengkaji terlebih dahulu amalan yang kita lakukan ini? Adakah ini jalan yang sebenarnya untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dunia dan juga cara untuk mengurangkan kesan pemanasan global? Fikirkan semula...
Seperti yang kita sedia maklum, Earth Hour ini diperkenalkan oleh negara Barat. Tidak salah untuk mengikut mereka asalkan tiada kaitan dengan aqidah. Tetapi, apa yang kita sedia maklum, negara-negara Barat seperti Amerika, Britain, Israel, dan lain-lain, merekalah yang sibuk mengeksplotasi hasil bumi. Di samping itu, merekalah penyebab kehancuran keharmonian masyarakat dunia. Tidak terlepas juga, negara Australia, di mana negara inilah negara pertama yang menjalankan aktiviti Earth Hour ini.
Earth Hour sedikit sebanyak dapat menutup mata kita daripada kezaliman dan kerosakan yang telah dibuat oleh negara-negara Barat. Mereka menyokong penuh aktiviti Earth Hour ini. Tetapi, dalam masa yang sama, merekalah yang paling suka mengebom, memusnah, dan menghancurkan alam sekitar melalui perang-perang yang dilancarkan oleh mereka.
Mereka jugalah golongan yang mengeksploitasi hasil bumi tanah jajahan mereka. Sebagai contoh, British dengan gigih mengeksploitasi hasil bumi Tanah Melayu. Di era moden ini pula, mereka bersama-sama dengan Amerika untuk berperang di Iraq dan juga Libya. Inikah yang dikatakan 'kesedaran tentang perubahan iklim bumi'?Earth Hour merupakan satu inisiatif yang agak bagus, tetapi jangan kita lupa pengkhianatan pihak-pihak terlibat seperti Amerika, Britain, Australia, dan lain-lain terhadap bumi Allah SWT.
Janganlah kita mudah tertipu dengan sandiwara-sandiwara puak-puak kapitalis ini. Mereka akan sedaya-upaya mengaut hasil kekayaan bumi demi manfaat mereka tanpa mengikut aturan daripada Sang Pencipta. Kebaikan mereka dalam 'usaha menyelamatkan bumi' tidak harus dipandang remeh. Kerana tidak mustahil mereka melakukan semua ini untuk menutup mata masyarakat dunia tentang kemusnahan yang mereka lakukan di muka bumi ini.
Tuntasnya, dengan Khilafah sahaja bumi ini akan diselamatkan, insya Allah. Kerana sang Khalifah hanya akan mengaut hasil kekayaan bumi ini menurut apa yang telah dimaktubkan oleh Sang Pencipta. Bukan seperti lintah darat kapitalis yang hanya memikirkan tentang manfaat semata-mata. Wallahu a'lam
*****
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
[ar-Rum (30):41]
























