
Projek terbaru Najib tampak baik. Terbaru, beliau mengumumkan projek e-mel 1Malaysia yang akan diberikan kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas. Tampak bagus kerana e-mel ini akan memudahkan urusan-urusan harian seperti menerima kenyataan dan makluman daripada kerajaan sebagai langkah mewujudkan perhubungan langsung antara rakyat dengan semua agensi awam. Diharap, hasil adalah sebaik apa yang dicanang oleh Najib.
Sudah tentu projek sedemikian rupa akan menelan kos berjuta-juta ringgit. Kosnya bukan RM1 juta, RM2 juta, atau RM3 juta. Tetapi projek mega tersebut menelan kos sebanyak RM50 juta. RM50 juta bukanlah satu nilai yang sedikit dan ia adalah wang rakyat.
Jika diteliti semula, adakah projek e-mel 1Malaysia ini merupakan suatu keutamaan pada waktu sekarang? Atau sebenarnya projek e-mel 1Malaysia ini bersembunyi di sebalik 'manfaat kepada rakyat' yang sebenarnya dibuat untuk mempropagandakan idea sekular 1Malaysia? Setelah banyak perkara di-1Malaysia-kan, kini e-mel juga di-1Malaysia-kan. Tidak cukupkah propaganda 1Malaysia dengan nombor plate kereta 1Malaysia, 1Halal 1Malaysia, dan sebagainya?
Projek mega ini tampak baik, tetapi sebenarnya ia adalah untuk melancarkan propaganda agar mata rakyat terus dikaburkan agar parti sekular Barisan Nasional boleh terus memerintah sehingga hari kiamat. Jelas di sini, Najib membelanjakan RM50 juta itu bukan pada tempatnya.
Tatkala kemiskinan kian melanda, Najib masih boleh sewenang-wenangnya membelanjakan RM50 juta itu. Bayangkan, berapa ramai umat manusia boleh dibantu dengan wang berjumlah RM50 juta itu? Di kala si faqir dan miskin menadah tangan memohon bantuan dan ihsan sang pemerintah, Najib sewenang-wenangnya menghabiskan RM50 juta itu pada jalan yang salah! Apakah yang akan Najib jawab kelak di hadapan Allah, apabila beliau tidak memenuhi hak-hak rakyat, lebih-lebih lagi yang miskin?Soal dakwah dan pengembangan Islam juga tidak dihiraukan oleh Najib. Bayangkan sekiranya RM50 juta itu digunakan untuk menyebarkan Islam. Tetapi tidak. Najib terus mabuk mempropagandakan idea sekular 1Malaysia-nya bagi memenuhi keperluan duniawinya.
Bukan itu sahaja, RM50 juta itu juga dilaburkan untuk mendapat manfaat ekonomi dunia semata-mata. Buktinya, Ketua Eksekutif Tricubes, Khairun Zainal Mokhtar, berkata syarikat berkenaan yang terbabit dalam perniagaan kemudahan teknologi untuk segmen enterprise dan pengguna akan melabur RM50 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi membangunkan sistem e-mel berkenaan dan dijangka menyumbang RM39 juta kepada pendapatan negara kasar (PNK) menjelang 2020. Mereka hanya mensasarkan RM39 juta di dunia yang masih belum pasti hasilnya. Mereka tidak pula mensasarkan pendapatan akhirat sekiranya mereka melaburkan RM50 juta itu di jalan yang benar.
Sudah jelas lagi bersuluh kebobrokan pemimpin sekular hari ini. Mereka sedaya-upaya mempropagandakan idea-idea sekular mereka dengan menghabiskan duit rakyat. Hasilnya dikaut semahu-mahunya oleh para menteri dan kroni mereka. Rakyat pula hanya dapat menikmati kemanisan slogan dan sisa-sisa manfaat yang ditinggalkan oleh mereka.