Terdengar suara-suara yang mendendangkan puisi. Syahdu dan bergemersik di ruang alam. Lunak suaranya menggamit rasa para pendengar. Puisi dialunkan dengan bait-bait yang tersusun rapi, lantas membuatkan para pendengar terus kaget.
Berjujuran air mata para pendengar. Menangis teresak-esak, terusik jiwa dengan kesyahduan bait-bait puisi yang dialunkan. Menangis dan terus menangis kerana mendengar puisi yang begitu menyentuh jiwa.
Di sebalik kesyahduan puisi itu, tidak terjengahkah di pemikiran kita, adakah Palestin memerlukan puisi tersebut? Di sebalik berjuraian air mata itu, adakah Palestin memerlukan air mata puisi itu? Sesungguhnya, Palestin tidak pernah mendengar alunan bait-bait puisi itu secara langsung di hadapan mata mereka. Dan mereka tidak menginginkan air mata umat Islam dijatuhkan kerana bait-bait puisi itu!
Bukankah sudah tiba masanya bagi umat Islam mencari kemuliaan syahid di sisi Allah dengan berjihad dengan seikhlas hati di bumi suci Palestin? Adakah umat Islam hari ini sudah lupa dengan perjuangan tentera Nabi Muhammad SAW yang memerangi tentera Ahzab? Adakah umat Islam hari ini sudah lupa dengan perjuangan tentera Salahuddin al-Ayyubi memerangi tentera salib? Adakah umat Islam sudah lupa bahawasanya Sultan Abdul Hamid bermati-matian mempertahankan Palestin?
Di manakah kalian wahai penguasa umat Islam? Kejinya perbuatan penguasa umat Islam hari ini kerana mereka mengharapkan penyelesaian daripada orang kafir dan duduk diam di kerusi empuk di bilik yang berhawa dingin. Di manakah kalian wahai tentera muslimin apabila Palestin memerlukan pembelaan daripada kalian? Adakah kecanggihan teknologi yang dimiliki hanya untuk dibeli dan disimpan?
Palestin tidak memerlukan puisi kalian! Sesungguhnya telinga-telinga mereka tidak mengingkan bait-bait puisi kalian sebagai halwa telinga mereka. Mereka juga tidak pernah menghendaki air mata kalian berjujuran kerana syahdu mendengar bait-bait puisi yang menyentuh jiwa itu. Apakah nilai air mata itu? Air mata itu hanya layak ditumpahkan di hadapan Allah kerana sedih melihat pemimpin kaum muslimin hari ini yang pengecut!
Sesungguhnya, jauh di lubuk hati umat Islam di Palestin, me

reka sangat menginginkan laungan takbir para tentera muslim yang hadir membela mereka di medan jihad. Mereka sangat menginginkan bunyi senapang dan bom tentera muslimin untuk menghancurkan tentera Yahudi yang amat zalim itu. Mereka juga tersangat menginginkan terdengarnya jeritan dari tentera Yahudi akibat ketakutan dan mengerang kesakitan. Sesungguhnya juga, mereka sangat menginginkan tertegak dan berkibarnya bendera ar-rayah dan al-liwa` di bumi suci mereka! Kerana hanya bendera-bendera itu yang diiktiraf oleh Rasulullah SAW!
Wahai umat Islam, sesungguhnya Palestin tidak pernah memerlukan puisi-puisi kalian yang penuh kesyahduan itu. Puisi-puisi kalian tidak pernah didengari oleh mereka kerana mereka sibuk mentarbiyah anak-anak mereka untuk menjadi mujahid dan mujahidah sejati. Mereka tidak pernah mendengar puisi-puisi kalian kerana kalian berada di kejauhan dan puisi kalian juga dilitupi bunyi senapang dan bom Yahudi Laknatullah!
Apa yang mereka perlukan adalah ketumbukan ketenteraan di bumi mereka. Sudah tiba masanya penguasa muslimin menghantar tentera mereka bagi melenyapkan segala fitnah di sana. Kejarlah kemuliaan syahid di sana wahai kaum muslimin! Sesungguhnya pintu-pintu syahid sedang dibuka luas oleh Allah SWT!
"Dan perangilah mereka, supaya jangan ada fitnah dan supaya agama itu semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (dari kekafiran), maka sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan." [TMQ al-Anfaal:39]




