Pages

06 December 2010

Sambutan Ma'al Hijrah Negara Sekular Sebagai Candu kepada Rakyat



Peristiwa Ma'al Hijrah merupakan suatu peristiwa yang sangat penting bagi Islam dan umatnya sehingga muncul satu lembaran baru yang memberi sinar kepada masa depan Islam. Hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat ditempuhi dengan 1001 pengorbanan.

Sebelum peristiwa itu, Saidina Ali r.a. rela menggantikan tempat tidur Rasulullah SAW. Perkara ini adalah suatu pengorbanan yang tidak ternilai, kerana pemuda gedung ilmu itu sanggup menggadaikan nyawanya demi kelangsungan hukum syarak. Sahabat-sahabat lain pula sanggup berhijrah ke kota Yathrib dalam keadaan sehelai sepinggang.

Dengan pengorbanan yang besar ini, Allah SWT telah menganugerahkan umat Islam dengan sebuah negara Islam pertama di kota Madinah. Semenjak daripada peristiwa itu, Islam telah menguasai dunia selama 1300 tahun sebelum dijatuhkan oleh ejen British Mustafa Kemal Laknatullah. Selama 1300 tahun inilah hukum syarak diterapkan dan dunia berada dalam keadaan aman damai.

Namun, 'Hijrah' di Malaysia lain pula ceritanya. Setiap tahun kerajaan sekular Malaysia pasti akan mengadakan sambutan Ma'al Hijrah. Perarakan, Persembahan, dan penobatan Tokoh Ma'al Hijrah adalah perkara yang mesti diadakan setiap tahun. Tidak kurang juga, ada individu-individu menanam azam baru sempena tahun baru Islam.

Sedar tak sedar, sambutan Ma'al Hijrah yang dianjurkan oleh kerajaan sekular Malaysia hanyalah candu yang meracuni pemikiran masyarakat. Konsep hijrah yang dibawa terlalu jelas tidak mengikut hukum syarak, bahkan candu tersebut digunakan untuk meracuni dan mengaburi mata rakyat, kononnya kerajaan sekular Malaysia prihatin terhadap isu-isu Islam!

Buktinya, sambutan Ma'al Hijrah disambut setiap tahun, namun sistem kufur yang diterapkan tidak pernah ditelingkupkan dan diganti dengan sistem Islam. Jelaslah di sini, kerajaan hanya menyempitkan skop hijrah itu dengan mengadakan sambutan setiap tahun sahaja. Bahkan, konsep hijrah yang sebenar dibuang jauh-jauh agar menteri-menteri sekular kita dapat terus kekal memegang kekuasaan dunia politik kufur.

Sambutan Ma'al Hijrah bukanlah perkara utama yang diharapkan oleh para pencinta Islam. Apakah maksud hijrah disambut setiap tahun, namun sistem yang menindas rakyat tetap diamalkan? Hijrah yang sebenar adalah keluar dari negara kufur dan masuk ke dalam negara Islam!

Ayuh umat Islam! Marilah kita bersama-sama membuka minda, bahawa sambutan Ma'al Hijrah yang disambut setiap tahun bukanlah sambutan yang dituntut oleh Islam. Kerana, sistem pemerintahan yang digunakan tidak pernah berubah. Malah, mereka mendakwa sistem demokrasi ciptaan manusia adalah sistem yang terbaik!

Oleh yang demikian, janganlah tertipu dengan omongan kosong pemerintah sekular yang menggunakan agama sebagai pengabur mata rakyat. Sebaliknya, kembalilah kepada al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan. Adakah kita masih rela ditipu lagi? Bertahun-tahun sudah Ma'al Hijrah disambut dan tokohnya pun dinobatkan setiap tahun, namun rakyat tetap sengsara dan hukum-hakam Islam tidak pernah diterapkan!

*****

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَٰئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Baqarah:218]
Comments
0 Comments

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...