
Idea-idea kebebasan sememangnya menjadi rona-rona kehidupan masyarakat Barat. Suburnya kebebasan-kebebasan ini menandakan suburnya sistem pemerintah kufur, yakni DEMOKRASI.
Sememangnya mereka bebas untuk melakukan apa sahaja, kerana mereka menganut fahaman sekular, di mana agama dipisahkan daripada kehidupan sehari-harian.
Idea-idea kebebasan itu kini telahpun menerobos ke dalam jiwa umat Islam, dengan tertegaknya sistem demokrasi di tanah-tanah kaum muslimin. Mereka menuntut kebebasan, seolah-olah mereka tidak terikat dengan hukum syarak; haram, wajib, makruh, sunat, dan harus.
Mari kita tinjau apakah idea-idea kebebasan yang sering dicanang oleh masyarakat Barat untuk menjalani kehidupan sehari-harian...
Kebebasan Berpemilikan
Minyak, air, dan hak-hak rakyat dikaut oleh golongan kapitalis, atas dasar kebebasan berpemilikan. Sedangkan hak-hak pemilikan telahpun ditetapkan oleh syarak dengan penuh bijaksana oleh Yang Maha Bijaksana. Peraturan telah diatur oleh Tuhan Sekalian Alam supaya tiada penindasan berlaku. Namun, apabila idea-idea kebebasan ditegakkan, hak-hak rakyat dirompak dan hanya mengenyangkan perut-perut sang kapitalis.
Sebagai contoh, menteri-menteri di Malaysia diberikan rumah-rumah mewah. Sedangkan masih ramai rakyat yang hidup merempat dan tidak cukup makan. Hak-hak rakyat seperti air, minyak, dan elektrik diswastakan, justeru manfaat tersebut hanya boleh dikaut oleh golongan pemegang modal sahaja.
Maksud hadis:
“Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara iaitu air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud]
Kebebasan Bertingkahlaku
Perkara ini jelas terpampang di mata kita sendiri akhir-akhir ini. Puak kuffar bebas menghina Islam atas dasar kebebasan bertingkahlaku. Mereka bebas untuk membakar al-Quran, menghina Nabi Muhammad SAW, menghina Allah SWT, dan sebagainya. Bagi mereka, perkara ini tiada salahnya kerana ia dilakukan atas tiket kebebasan.
Selain itu, realitinya, jumlah laman web lucah telahpun mencapai jumlah Mega. Kebebasan bertingkahlakulah yang mendorong mereka untuk melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang hasil tontonan umum. Sedangkan, Islam sangat menjaga maruah umat manusia, lebih-lebih lagi kaum wanita. Umat manusia tidak bebas melakukan apa sahaja, tetapi perbuatan manusia adalah terikat dengan hukum syarak yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Kebebasan Bersuara
Mereka mencanang kebebasan bersuara. Oleh itu, mereka bebas untuk menyuarakan isi hati mereka untuk menghina Islam. Walhal, kebebasan bersuara yang mereka canang adalah senjata bagi mereka untuk mempropagandakan penghinaan mereka terhadap Islam.
Sayang sekali, kebebasan bersuara turut dituntut oleh umat Islam yang tidak faham dengan idea-idea kebebasan ini. Mereka mendakwa, idea kebebasan bersuara adalah suatu idea yang termaktub dalam Islam. Jika benar, ini bermaksud umat Islam dihalalkan untuk mencarut, mencaci, memaki, menista, dan sebagainya.
Kebebasan Beragama
Islam bukan agama paksaan. Namun, umat Islam diharamkan untuk menukar agama atas tiket kebebasan beragama. Islam itu suci dan bukan seperti panggung wayang di mana kaki wayang boleh keluar-masuk wayang dengan hanya membeli tiket.
Murtad merupakan jenayah yang amat besar dalam Islam. Golongan yang murtad sememangnya golongan yang buta akan keindahan sistem-sistem Islam yang mengatur kehidupan manusia. Mereka menukar agama hanya kerana nafsu dan kejahilan mereka.
Kebodohan idea kebebasan beragama dapat dilihat dengan jelas. Ada sesetengah individu menganut Kristian dan Hindu separuh-separuh. Ini menunjukkan pegangan mereka adalah kabur dan sebenarnya mereka tidak mempunyai matlamat dalam beragama.
*****
Oleh yang demikian, umat Islam janganlah terpedaya dengan idea-idea yang dibawa oleh Demokrasi. Umat Islam terikat dengan peraturan-peraturan hidup dalam Islam, dan tidka bebasa melakukan apa sahaja. Demokrasi sudah terbukti bukan berasal daripada Islam dan ternyata mengagungkan manusia sebagai Tuhan.