Baru-baru ini, sebuah akhbar tempatan telah membuat liputan berikutan kedai seks yang beroperasi secara terbuka di ibu kota. Nampaknya, pihak media pula yang prihatin tentang isu hangat seperti ini. Bukankah pihak pemerintah yang sepatutnya lebih prihatin dan mengambil langkah awal?Apabila orang-orang tertentu disoal, pastinya adegan tarik tali akan berlaku. Hujah-hujah menarik seperti luar bidang kuasa, pertindihan kuasa, dan hujah-hujah bodoh semacam ini sering dijadikan modal bagi memutar-belitkan pemikiran masyarakat. Tidak lain dan tidak bukan, inilah natijah sekularism yang menguasai pemikiran.
Apa yang membimbangkan, kedai seks ini beroperasi secara terbuka. Remaja yang masih bersekolah turut tidak terkecuali daripada mengunjungi kedai ini. Apakah petanda semua ini? Sudah tentu ini adalah petanda kes zina yang semakin berleluasa. Ini adalah kerana para penzina kini tercari-cari sesuatu yang boleh memperhebat hubungan zina mereka. Justeru, kedai-kedai seperti inilah yang menjadi sasaran. Tambahan pula, kedai ini beroperasi secara sah dan halal mengikut perlembagaan demokrasi kufur Malaysia.
Sikap lepas tangan dan main tarik tali oleh pihak berkuasa cukup jelas untuk menunjukkan mereka belum sedar tentang kes zina yang berleluasa. Butakah mata mereka untuk melihat anak luar nikah dibakar? Butakah mata mereka untuk melihat lambakan anak-anak luar nikah? Butakah mata mereka untuk melihat perut anak-anak gadis Islam yang memboyot kerana zina?
Sesungguhnya mata mereka telah dibutakan oleh hukum-hukum sekular yang diterapkan oleh pemerintah sekular hari ini. Melihat situasi maksiat dan jenayah yang semakin meruncing, mereka masih mahu menerapkan hukum-hukum sekular yang kian menghancurkan umat. Mereka masih belum yakin dengan hukum-hukum Islam yang menjadi asbab kepada kebahagiaan umat.
Tuntasnya, kita tidak perlu rasa pelik akan keberadaan kedai-kedai seperti ini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Ini adalah natijah daripada penerapan hukum sekular!