Nama mereka meletup-letup sejak akhir-akhir ini. Masakan tidak, banyak kejuaraan telah dirangkul dengan jayanya. Maka, apa lagi yang patut diterima daripada kerajaan kapitalis? Tentulah ratusan ribu ringgit sebagai habuan serta pangkat Datuk menjadi sandaran.Tidak salah menghargai kejayaan mereka dalam bidang sukan. Namun, inilah dunia kapitalis. Ratusan ribu ringgit dihulur begitu sahaja. Bagaimana pula nasib golongan faqir dan miskin yang sentiasa menagih belas ihsan? Cukuplah dengan paparan dalam rancangan Bersamamu. Itu baru sahaja yang dipaparkan. Kehidupan miskin umat yang tidak dipaparkan entah berapa banyak pula.
Apa yang menjadi 'Pelik bin Ajaib', setiap tahun, pasti bajet tahunan dibentangkan. Rakyat dikotak-katikkan dengan slogan-slogan yang menjanjikan kekenyangan perut. Namun, hakikatnya, slogan hanya tinggal slogan semata-mata. Manakala rakyat yang buta terus menyokong sang kapitalis ini walaupun hasil sokongan itu entah ke mana.
Apa yag lebih pelik lagi, ahli sukan terus disuapkan lagi dengan wang beribu-ribu ringgit walaupun perut mereka sememangnya diisi setiap hari. Kerana apa? Kerana ahli sukan ini memberi pulangan kepada negara kapitalis-sekular ini. Manakala golongan miskin tidak memberi pulangan lumayan kepada negara. Apa perlunya pemerintah kapitalis ini menjaga perut rakyat yang miskin?
Bukalah matamu wahai umat! Dunia kapitalis hanya mengenyangkan perut mereka dan kroni-kroni mereka sahaja. Gula-gula terus ditabur tetapi manisnya entah ke mana. Slogan-slogan sering dilaung, tetapi intinya entah ke mana. Hanya Islam sebagai jalan penyelesaian. Masihkah kita tidak yakin dengan ketetapan Yang Maha Bijaksana?
Maksud firman:
Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin? [al-Maaidah:50]