Pages

28 November 2009

10 'K' Dalam Persahabatan



10 K dalam PERSAHABATAN

* KECINTAAN merupakan elemen yang paling penting sekali dalam sesebuah persahabatan. Ikatan sesebuah persahabatan akan mudah rapuh jika tiadanya kecintaan antara dua insan yang disandarkan kepada Si Pemilik cinta itu sendiri. Sebab itu, kadang-kadang perlunya kita meluahkan rasa cinta kita terhadap sahabat kita dengan mengungkap, "uhibbuka/i fillah" (bagi sahabat-sahabat yang sama jantina sahaja) agar mereka tahu betapa cintanya kita terhadap mereka, kerana Allah (insyaAllah).

* KASIH SAYANG lebih kurang sama sahaja maksudnya dengan kecintaan. Namun, setelah kita mencintai sahabat kita, perlunya kita curahkan segala kasih sayang kita terhadap mereka. Tetapi, kadangkala kasih sayang tidak perlu dipamerkan secara luaran. Cukuplah sekadar kita mendoakan untuk sahabat-sahabat kita, insyaAllah, itu sudah cukup membuktikan betapa sayangnya kita terhadap mereka.

* KEIKHLASAN dapat menjamin sesebuah persahabatan mendapat keberkatan dan rahmat daripada Illahi. Tidak ikhlas ketika bersahabat dengan seseorang akan mengundang permusuhan antara sahabat. Bersahabatlah dengan seseorang kerana keluhuran hati budinya, bukan kerana rupa, pangkat atau harta yang dimilikinya.

* KESETIAAN terhadap seseorang sahabat mampu memanjangkan tali persahabatan walaupun jarang bertemu. Apabila kita setia terhadap kita, kita akan diingati oleh mereka sehingga akhir hayat mereka, kerana tidak kira susah atau senang, kita setia berada di sisinya memberi sokongan, insyaAllah.

* KEBERANIAN dalam berkata benar. Dalam persahabatan juga, kita hendaklah berani apabila ingin mengatakan sesuatu. Lebih-lebih lagi jika kita telah melakukan sesuatu yang menyakiti hatinya, kita kena berani mengaku padanya atas kesilapan yang dilakukan. Selain itu, berani juga dalam menasihati sahabat kita. kerana sebagai sahabat, kita mesti mahukan yang terbaik untuk mereka kan?

* KEJUJURAN juga perlu dalam persahabatan. Jangan sesekali menipu atau menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuan sahabat kita. Mereka juga perlu tahu apa yang kita lalui dalam kehidupan kita. Jangan berahsia, melainkan pada perkara yang benar-benar perlu dirahsiakan (hehehe).

* KEMAAFAN. Sekiranya sahabat kita pernah melakukan sebarang kesilapan, bersedialah untuk memaafkannya, tidak kira sebesar manapun kesalahan mereka terhadap kita kerana sahabat yang baik adalah sahabat yang bersedia untuk memaafkan sahabatnya. Jika kita yang bersalah, janganlah malu untuk meminta maaf daripada mereka kerana orang yang dahulu meminta maaf adalah orang yang hebat.

* KESEDIHAN. Apabila kita sedar bahawa sahabat kita sedang bersedih, maka, ikutlah sedih bersama-sama dengan mereka. Tawarkanlah bahu kita untuk dijadikan tadahan air mata mereka. Kerana tiada siapa yang akan mereka cari selain kita sahabat mereka.

* KEGEMBIRAAN. Begitu juga dengan kegembiraan. Jika kita gembira, maka marilah berkongsi kegembiraan itu bersama sahabat-sahabat tercinta. Tidak mahukah kita bergelak tawa dengan mereka? Tidak mahukah kita melihat ukiran-ukiran senyuman indah di raut wajah mereka? Kegembiraan kita, kegembiraan mereka jua.

* KESERASIAN di sini bukanlah bermaksud, "Kau cantik, aku mesti cantik," "Kau kaya, aku pun kena kaya". Tidak sama sekali. Sememangnya manusia dijadikan oleh Allah berbeza-beza, namun, dalam persahabatan keserasian dapat diwujudkan apabila terbinanya persefahaman antara dua pihak. Apabila ada persefahaman, barulah hubungan kita dengan sahabat kita akan menjadi lebih baik dan akan berkurangnya pergaduhan disebabkan salah faham (hehehe).

Alhamdulillah, itulah dia 10 K yang dapat saya simpulkan mengenai persahabatan. Maaf kalau agak membosankan, namun saya tetap ingin berkongsi pendapat saya mengenai topik ini.


"Adakah anda dan sahabat anda mengamalkan 10 K ini?"

sumber: iluvislam.com
Selanjutnya...

27 November 2009

Palestine di kala Aidil Adha

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Takbir Aidil Adha bergema lagi. Jutaan umat Islam di seluruh pelosok dunia menyambut laungan takbir dengan rasa rendah diri, mengenang peristiwa Nabi Allah Ibrahim a.s dan Nabi Allah Ismail a.s. Bahkan, bukan itu sahaja yang direnungkan, umat Islam kini hanya dapat merenung nasib umat Islam yang sering dijadikan korban pada Aidil Adha dan tidak mengira masa

Hari bersilih ganti. Waktu bertukar waktu. Masih lagi tiada seorang pemimpin yang dengan beraninya melancarkan peperangan ke atas negara haram Israel. Negara haram itu tanpa mengenal waktu, membedil, melanyak, dan terus menindas penduduk Gaza.

Terbaru, serangan dilancarkan di kala umat Islam menyambut Hari Raya Aidil Adha. Umat Islam di Gaza bagaikan lembu, unta, kerbau, dan kambing. Darah mereka halal bagi kaum Zionis yang terkenal dengan kekejaman zaman berzaman

Di kala umat Islam menjadi daging lapahan peluru Zionis, kerajaan yang berkuasa dan bertentera hanya menongkat dagu melihat kejadian demi kejadian berlaku. Manakala Pak Arab sedunia menonton bedilan demi bedilan di panggung wayang mereka yang tersedia kerusi empuk.

Wahai umat Islam, adakah Allah SWT menghadiahkan Aidil Adha kepada umat Muhammad SAW supaya kaum kuffar menjadikan umat Islam sebagai 'binatang sembelihan'? Sampai bilakah kekejaman ini harus berlaku? Tidak cukupkah penghinaan yang dilakukan ke atas umat Islam, apabila kerajaan boneka Iraq, bersama sekutu mereka, Amerika Syarikat yang menggantung Saddam Hussein pada Hari Raya Aidil Adha?

Wahai pemimpin yang memegang kekuasaan! Tidak mahukah kalian berkorban di jalan Allah dengan menghantar bala tentera kalian untuk menghancurkan Israel yang hanya sebesar gelang itu?
Selanjutnya...

08 November 2009

Selamatkan Gaza atau Selamatkan Palestine?!

Dunia Palestine tidak pernah sunyi daripada disebut-sebut dari dahulu hinggalah ke saat ini. Lipatan sejarah dan apa yang kelak berlaku di bumi Palestine telahpun dirakamkan oleh Allah SWT di dalam kalam-Nya yang benar lagi membenarkan.

Kaum kuffar tidak jemu-jemu melancarkan fitnah terhadap dunia Islam, kononnya umat Islam adalah pengganas. Label pengganas tersebut menjadi lesen bagi mereka untuk menghalalkan darah kaum muslim terutamanya di bumi Palestine di mana kaum muslim telah lama menanggung penderitaan sejak 1948.

Kaum Yahudi tanpa jemu, giat melenyapkan Palestine sebagai bumi umat Islam di peta dunia. Lihatlah dunia hari ini, adakah nama Palestine ditulis di atas atlas-atlas yang dijual di kedai-kedai? Sebaliknya, negara haram Israel tertera di atlas-atlas tersebut.

Apa yang menyedihkan, negara pengganas Israel hanyalah sebesar gelang yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 7.5 juta orang sahaja. Namun tiada satu negara Arab pun yang menghantar bala tentera mereka untuk mencabut kekuasaan pengganas Israel di bumi suci Palestine.

Sebaliknya, menghantar wakil-wakil mereka untuk melakukan antara pemuka-pemuka Islam yang bacul dengan pemuka-pemuka Yahudi yang terang-terang pendusta. Dari dahulu hingga kini, apakah natijah rundingan-rundingan ini? Natijahnya tidak lebih daripada menghabiskan wang ke sana ke mari, membuang air liur, dan menjadi panggung wayang bagi kaum kuffar sedunia untuk bergelak ketawa melihat gelagat pemuka Islam yang pengecut.

Mengapakah masalah ini berlarutan dari tahun 1948 sehingga kini? Masih tidak cukupkah masa untuk mencabut kekuasaan haram itu? Tidak tahukah kalian, wahai pemimpin, Khalifah Mu'tasim Billah hanya mengambil masa beberapa jam untuk menggerakkan bala tentera untuk menyerang kota Rom terkuat setelah seorang mukminah dipersenda oleh lelaki kafir?

Inilah budaya yang diterapkan oleh penjajah imperialis. Mereka sedaya-upaya menerapkan semangat nasionalism. Lihat, semangat nasionalis telah memisahkan tali silaturrahim kita bersama saudara kita di Palestine. Negara-negara Arab hanya mementingkan negara mereka sendiri sahaja. Apatah lagi negara-negara yang dipisahkan dengan ribuan kilometer jauh dari Palestine. Inilah dia semangat nasionalism! Semangat nasionalism menjadi nadi kehancuran perpaduan kaum muslim! Sungguh, para pejuang nasionalis sudahpun tersesat dengan idea kapitalis yang rosak lagi merosakkan ini.

Apa yang lebih menyedihkan lagi, ada juga pihak yang memandang masalah ini hanyalah masalah kaum Arab. Tidak cukup dengan itu, umat Islam di Palestine yang sememangnya terpisah dengan kaum muslim lain di serata dunia, dipisahkan lagi dengan sempadan Gaza dan Tebing Barat. Justeru, ramai pihak memandang bahawa Gaza-lah yang perlu diselamatkan kerana kawasan tersebut dikuasai oleh Hamas. Sungguh, mereka tertipu dengan semangat asobiyyah yang sesat lagi menyesatkan. Ketahuilah, setiap inci dan penjuru Palestine wajib dibebaskan daripada genggaman Yahudi mahupun pihak berhaluan sekular (Fatah). Tiada hak bagi kaum kafir harbi Yahudi  di bumi Palestine walaupun sejengkal!

Hanya dengan mengerahkan bala tentera ke kawasan sebesar gelang itu dapat mencabut kekuasaan Yahudi di bumi Palestine dan ia merupakan tanggungjawab pemerintah! Wahai pemerintah yang mempunyai kuasa, apakah jawapan kalian untuk dakwaan-dakwaan umat Islam yang menderita ketika mereka mendakwa kalian di hadapan Allah kelak?!

Sesungguhnya bumi Gaza, seluruh Palestine, dan bumi Islam yang lain sedang menunggu pembelaan daripada seorang Khalifah yang merupakan junnah (perisai) kepada ummat!

Selanjutnya...

07 November 2009

Allah Kata Jangan!



Seorang ibu mengingatkan anaknya, "Adik, jangan pergi sana. Bahaya! Adik, ingat tau, jangan pergi sana. Bahaya tu...!". Dua kali ibu kepada anak tersebut mengingatkan anak itu. Dua kali sudah cukup untuk menyatakan bahaya tempat itu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Bermegah-megahan telah melalaikan kamu.
Sampai kamu masuk ke dalam kubur.
Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu).
Dan janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui.
Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin.
Nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahim,
Dan sesungguhnya kamu benar-benar akan melihatnya dengan 'ainul yaqin.
Kemudian kamu pasti akan ditanya pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu)". [at-Takaatsur:1-8]

Dalam surah at-Takaatsur, 1-akhir, tiga kali Allah SWT Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana telah mengingatkan kita tentang bahaya bermegah-megah. Allah itu Maha Mengetahui. Pengetahuan-Nya Maha Luas jika dibandingkan dengan ibu kepada anak di atas. Peringatan si ibu yang berkali-kali sudah cukup untuk menjadi penegasan kepada anaknya. Apa lagi TUHAN kita? Berkali-kali Dia Yang Maha Mengetahu mengingatkan kita.

Tapi...

  1. Artis kita bermegah-megah, juah, dan mendabik dada dengan majlis pertunangan dan pernikahan mereka. Angka wang ringgit dijadikan sandaran tanpa menitikberatkan soal keberkatan. Belum pun masuk kos walimatul urus, kos gaun perkahwinan sahaja sudah mencecah puluhan ribu ringgit.
  2. Pembinaan Burj Dubai, Palm Islands, KLCC, dan macam-macam projek Mega di negara berpenduduk umat Islam. Kos projek yang sudah tentu mencecah juta, billion, malah trillion. Dalam masa yang sama, umat Islam di Palestine, Chechnya, Tak Bai, Kashmir, dan di serata dunia tetap berada dalam kesengsaraan ketika jutawan Islam bermegah-megah dengan projek Mega mereka.
  3. Bermegah-megah dengan perniagaan, anak-pinak, isteri dan harta sehingga lupa untuk beribadat, lupa untuk menghadirkan diri ke rumah Allah.
  4. Belajar, mentelaah buku, buat latih tubi, sampai lupa pada Allah. Kemudian bermegah-megah dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang. Lupakah kita, keputusan peperiksaan yang cemerlang itu datang daripada Allah?
  5. Tayang aurat tanpa segan silu. Tubuh badan yang dikurniakan oleh Allah SWT bagaikan panggung wayang percuma. Inilah manusia kurang akhlak. Tubuh badan yang menarik dimegah-megahkan dan dijadikan panggung wayang percuma. Apa yang mahu dimegah-megahkan? Lambat laun akan tua juga. Kecantikan dunia bersifat sementara. Segala yang dimegah-megahkan itu pasti akan bertukar menjadi suatu penyesalan.

Ingatlah! Dunia ini hanya permainan!

Maksud firman:

"Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan keampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu". [al-Hadid:20]

Dunia hanyalah jambatan ke akhirat. Kesenangan yang abadi itu hanyalah ciptaan Allah SWT di akhirat kelak...

"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga). Katakanlah: "Inginkah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?" Untuk orang-orang yang bertaqwa (kepada Allah), pada sisi Tuhan mereka ada syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya. Dan (mereka dikaruniakan) isteri-isteri yang disucikan serta keredhaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya." [Ali-'Imran:14-15]


Ingatlah, bermegah-megah membawa padah. Wallahu a'lam...




Selanjutnya...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...