Pages

26 September 2009

Pornografi: Mana Hala Tuju Kita?

Naluri seksual merupakan satu fitrah bagi semua manusia yang sihat. Islam telah meletakkan satu garis panduan yang amat indah yakni pernikahan. Melalui pernikahan, suami isteri dapat menyalurkan nafsu dengan cara yang halal dan menyihatkan tubuh badan.



Saban hari kita disogokkan dengan bahan-bahan lucah. Majalah lucah Playboy mula diterbitkan di Chicago pada tahun 1953. Hari bersilih ganti dan teknologi bertambah maju. Dengan kepantasan internet di alam maya, bahan-bahan lucah amat mudah diperoleh dengan hanya satu klik di hujung jari. Malah, di Malaysia bagaikan wujud satu fenomena baru yakni lambakan video lucah yang dihasilkan oleh golongan Melayu-Islam.


Permasalahan ini semakin hari semakin menghimpit terutamanya pada remaja lelaki. Dikurniakan dengan hanya 1 nafsu, tetapi nafsu itu lebih tertumpu kepada nafsu syahwat. Sifat ingin tahu membuatkan masalah jiwa kian terbelit. Era pemerintahan kapitalisme begitu menghimpit. Mereka menghimpit kita dari segi ekonomi, politik, dan sebagainya. Malah, mereka juga menghimpit kita dengan nafsu syahwat.


Justeru, apakah langkah yang yang mujarab untuk mengubat penyakit ini sementara penjajah kapitalis yang menguasai dunia hari ini? Disebabkan bahan-bahan lucah dan erotik ini sangat mudah untuk diperoleh, hanya ketaqwaan terhadap Allah SWT sahaja yang mampu menjadi benteng daripada membuahkan kerosakan akhlak hasil usaha gigih penjajah minda hari ini.


Mohonlah taubat kepada Allah SWT. Hafazlah al-Quran untuk membangkitkan roh Islam dalam jiwa. Tanpa al-Quran, jiwa orang yang beriman akan kosong dan mudah untuk diserang oleh syaitan la'natullah. Semoga para lelaki tidak terpedaya dengan janji kosong syaitan yang membuahkan keseronokan yang hanya sementara.

Maksud firman:
"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya". [an-Nur:30-31]

HANCUR KAPITALIS! HANCUR KAPITALIS! HANCUR KAPITALIS! Bangunlah wahai kaum muslimin daripada kelekaan bahan lucah yang merosakkan jiwa! Semoga bantuan Allah sentiasa mendampingi lelaki-lelaki yang berpenyakit jiwa ini. Amin ya Allah...

Wallahu a'lam...
Selanjutnya...

25 September 2009

1Malaysia Nadi Perpecahan Ummah


Saban hari, rakyat dicelarukan dengan pemikiran-pemikiran sekular pemimpin hari ini. Bertukarnya pemimpin, ada-ada sahaja slogan yang direka kononnya untuk mencapai sebuah negara yang aman makmur. Tun Dr. Mahathir dengan 'Wawasan 2020'. Pak Lah dengan 'agama baru' Islam Hadhari. Manakala pemimpin Malaysia yang terkini melaungkan slogan '1Malaysia'. Entah berapa banyak wang rakyat yang dihabiskan untuk mempromosikan propaganda pemimpin-pemimpin sekular hari ini.

Slogan 1Malaysia dapat dilihat di mana-mana sahaja. Di institut pengajian, jalan raya, sekolah, mahupun R&R. Kononnya 1Malaysia membawa satu perpaduan. Walhal, jika diteliti, 1Malaysia merupakan nadi perpecahan ummah.

Hakikatnya, 1Malaysia hanyalah satu propaganda yang memperjuang satu 'perpaduan' yang berlandaskan satu pemikiran yang sempit. Kononnya, yang diperjuangkan adalah nasib rakyat walhal rakyat masih lagi terbeban dengan bayaran yang tidak sepatutnya mereka bayar. Kononnya 1Malaysia memperjuangkan perpaduan. Perpaduan yang dilaungkan hanyalah satu perjuangan yang sangat kecil, yakni 'perpaduan' di Malaysia sahaja walhal umat Islam berada di satu pelosok dunia.

Sedarlah wahai umat Islam, perpaduan umat Islam tidak pernah dibahagikan oleh Allah SWT dengan adanya sempadan-sempadan negara. Kita semua adalah bersaudara. Apabila sempadan-sempadan negara dicipta, maka tidak hairanlah umat Islam kini dilanyak, ditenyeh, dipijak, dan diperlaku dengan pelbagai penghinaan.Maksud firman:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara..." [al-Hujurat:10]

Oleh yang demikian, serulah perpaduan secara menyeluruh, bukan hanya 1Malaysia yang jelas sempit ruang lingkupnya. Apabila semangat patriotik dan semangat nasionalisme dilaungkan, tidak hairanlah kita memandang rendah, menghina, dan mencerca bangsa-bangsa lain seperti Indonesia, Bangladesh, dan sebagainya sebagai bangsa kelas bawahan meskipun mereka memegang aqidah yang sebanding dengan kita. Wallahu a'lam.

Selanjutnya...

19 September 2009

Program Maksiat di Aidilfitri

Hari Raya Aidilfitri merupakan hadiah daripada Allah SWT bagi umat Islam yang berpuasa pada bulan Ramadhan. Hadiah yang mesti diraikan dengan penuh kesyukuran dan ketaqwaan. Umat Islam juga diharamkan berpuasa pada 1 Syawal bagi meraikan mereka yang menahan lapar dan dahaga serta menekan nafsu pada bulan Ramadhan.


Aidiliftri disambut meriah oleh umat Islam. Aidilfitri diraikan dengan baju baru yang berwarna-warni. Ziarah dan kunjung-mengunjung menjadi amalan saban tahun Aidilfitri diraikan. Kuih raya, ketupat, lemang, rendang, dan serunding menjadi sajian istimewa.


Justeru, pihak-pihak media turut 'memainkan peranan' dalam memeriahkan lagi Aidilfitri. Banyak rancangan di televisyen disajikan untuk tatapan umum. Namun, antara sedar dan tidak, kebanyakan rancangan yang disajikan adalah rancangan yang berunsurkan maksiat kebanyakannya. Berpuasa di bulan Ramadhan nampak gayanya tidak dihayati dan rohnya diabaikan sama sekali.Tujuan berpuasa di bulan Ramadhan adalah supaya kita bertaqwa kepada Allah SWT.


Maksud firman:


"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." [al-Baqarah:183]


Adakah Ramadhan telah membuahkan taqwa kepada golongan yang menyajikan hiburan ini? Jarang sekali kita lihat rancangan yang berunsurkan pengabdian kepada Allah SWT di Aidilfitri. Adapun rancangan yang berunsurkan maksiat seperti filem Hindustan yang tiada kena-mengena dengan rona-rona kehidupan orang beriman, rancangan nyanyian yang bercampur gaul antara lelaki dan perempuan, rancangan yang mendedahkan aurat yang menampilkan perempuan-perempuan berbaju ketat, berkebaya ketat (Kebatat), perempuan-perempuan yang menayang gunung-ganang mereka, dan lelaki-lelaki bodoh yang sedang berhibur tanpa mengikut lunas Islam.


Apakah semua ini? Di manakah ketaqwaan yang dimahukan oleh Allah SWT hasil daripada kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan? Inilah natijah daripada sistem-sistem yang diterapkan masa kini. Al-Quran dan as-Sunnah ditolak tepi, hukum ciptaan manusia yang baharu disanjung-sanjung. Maka, hal begini bukanlah sesuatu perkara yang mengejutkan kita. Malah, ia merupakan satu natijah yang wajib berlaku apabila hukum-hukum yang dimaktubkan oleh Allah SWT dilemparkan. Wallahu A'lam
Selanjutnya...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...