Pages

29 June 2009

Ketemu Jua Idolaku...




video



Majlis Tilawah al-Quran politenik 2008 diadakan di Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Aku turut terlibat dalam acara ni...sebagai wakil tilawah untuk Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA). Tapi sebagai simpanan je la... Hehehe...

Selain daripada tilawah, nasyid dan pidato Bahasa Inggeris turut dipertandingkan. Kontinjen nasyid PSA dibimbing oleh Ustaz Khairul Napisham dan Abang Fadzli FarEeast. Ustaz Kamaruddin membimbing kontinjen tilawah al-quran. Ustaz Khairul pun bimbing kami jugak sebab dia memang sangat pandai bertaranum.

Masa perjalanan, dan bila dah sampai, aku tak habis-habis tanya pasal Ustaz Radzi Kamarul Hailan, juri taranum Akademi al-Quran. Maklumlah, Ustaz Radzi tu imam masjid Sultan Azlan Shah. Masjid Sultan Azlan Shah memang betul-betul ada depan Politeknik Ungku Omar. Lintas jalan je, insya Allah sampai. Untungnye budak-budak Ungku Omar. Kalau tak belajar al-Quran dengan juara dunia tu jugak, memang rugi besar...

Masa raptai nasyid, Abang Fadzli pun ada jugak. Tapi orang yang perjuangkan Islam ni memang jarang dikenali orang. Masa dia duduk kat situ, entah berapa orang je yang kenal Abang Fadzli. Cuba kalau penyanyi-penyanyi lain... Cukup terkenal. Walhal mereka tu lalaikan kita dan menjauhkan kita dengan Allah.

Hari yang aku tunggu, Alhamdulillah sempat jugak aku laluinya. Sayyidul Ayyam yang sangat bermakna. Aku, Ustaz Khairul, dan kawanku, Anwar datang awal ke masjid. Kami berniat nak ziarahi Ustaz Radzi dulu...Huhu.. Gembira bukan kepalang.

Alhamdulillah jumpa jugak tempat Ustaz Radzi setelah lama kami melilau kat dalam kawasan masjid tu. Hatiku memang berdebar-debar menantikan idolaku yang memang aku dah lama simpan niat nak jumpa dia.

Jeng jeng jeng... Ustaz Khairul mengetuk pintu lalu member salam. Beberapa saat kemudian, daun pintu dikuak. Nampaklah sekujur badan tegap berjubah putih. Subhanallah... Itulah idolaku yang dah lama aku nak jumpa. Aku tergamam lantas menutup mulutku yang melopong. Kami bersalaman dan Ustaz Khairul menghadiahkan buku karangan Dr. ‘Aidh al-Qarni sebab Ustaz Radzi memang peminat Dr. ‘Aidh al-Qarni.

Kami ingat nak berbual sekejap. Tapi Ustaz Radzi mintak diri dulu sebab dia nak bersiap-siap untuk solat Jumaat. Solat Jumaat hari tu diimamkan oleh Ustaz Radzi sendiri. Khutbahnya memang berkesan dan membakar semangatku. Ditambah pula dengan teknik-teknik penyampaian dan intonasi yang menarik perhatian, memang buat aku tak mengantuk masa khutbah disampaikan. Bukan macam sesetengan khatib yang ‘membaca khutbah’, bukan memberi khutbah.

Setelah usai solat jumaat, Kami bertiga dan kontinjen nasyid yang lain menunggu Ustaz Radzi. Ustaz Radzi sedang bersembang dengan seorang lelaki tua. Aiisshh... lama jugak mereka bersembang. Bilalah orang tu nak habis bersembang. Kami menunggu dengan sabar

Alhamdulillah habis jugak perbualan. Nasib baik tak sembang sampai asar. Hehehe... Lepas tu, kami bersalaman dan bergambar bersama-sama. Kontinjen PSA je yang buat macam ni. Politeknik lain takde.. Sebab Ustaz Khairul memang pernah jumpa Ustaz Radzi sebelum ni.

Lepas bergambar, kami semua nak balik dah... Tapi aku ni memang teruja lebih. Memang minat sangat-sangat pada Ustaz Radzi. Aku dengan agak segan, meminta Ustaz Radzi untuk membaca al-Quran sedikit sebelum kami pulang. Ustaz Radzi nak baca kat dewan solat, tapi ada orang bersolat pulak.

Lepas tu Ustaz Radzi suruh kami turun ke pejabatnya. Subhanallah... Ustaz Radzi melayan kami dengan penuh rendah diri dan dia begitu memuliakan tetamu. Aku ingat Ustaz Radzi nak baca beberapa potong ayat je... Rupa-rupanya dia baca Surah al-Mukminun 1-28. Subhanallah...

Taranum yang dialunkan adalah Bayati, Soba, Nahwand, Hijaz, Rast, dan Jiharkah. Ustaz Radzi tak dapat nak alunkan Sikah sebab Nampak dia letih sangat alunkan 6 buah lagu sampai terpaksa tanggalkan butang jubahnya. Begitu dia memuliakan tetamu dan tak menghampakan kami.

Lepas habis baca, Ustaz Radzi ada bagi petua untuk panjangkan nafas:
1. Diamalkan pada waktu pagi, selepas bangun tidur
2. Depakan tangan
3. Tarik nafas dalam-dalam. Pastikan udara disimpan di dalam perut, bukan di dalam dada!
4. Amalkan 1-3 dengan membaca Surah al- Fatihah dengan menggunakan satu nafas sahaja

Kami bersalaman dan berangkat pulang.. Inilah pengalaman yang tak dapat dilupakan... Huhu.. Sekian terima kasih. Wassalam...

*****




Selanjutnya...

Aduhai Mat Rempit




Dunia motosikal sering dikaitkan dengan 'Mat Rempit'. Namun, sejauh manakah kita tahu tentang Mat Rempit ini yang cukup sinonim dengan gejala zina, minum arak, bohjan, bohsia, dan lain-lain. Istilah Mat Rempit sering digunakan oleh anak-anak muda masa kini. Namun, istilah tersebut telah dipopularkan oleh Bekas Hos Edisi Siasat, Wan Kamarudin Wan Ibrahim dan ia seoalah-olah telah diiktiraf menjadi satu ‘perkataan sah’ dalam Bahasa Melayu

Masalah Mat Rempit dilihat semakin meruncing pada masa kini. Tidak cukup dengan melanggar polis, mereka juga membunuh warga emas. Lagi, kenajisan aktiviti mereka diteruskan dengan meragut. Kes ragut bagaikan kes yang bermusim. Sekejap timbul dan sekejap tenggelam. Namun, bukan semua golongan Mat Rempit melakukan aktiviti ragut.

Justeru, banyak pihak tampil untuk memberikan penyelesaian bagi kes yang semakin menghancurkan umat ini. Hakikatnya, Mat Rempit merupakan buah hasil daripada ‘Usul Sekularisme’. Maka, ia perlulah diselesaikan dengan satu cara yang kuat yakni Islam semata-mata. Tanpa Islam, ia bukanlah satu penyelesaian tetapi hanyalah penyelesaian retorik yang lahir daripada golongan berfikiran tak Islamik semata-mata.

Di sebalik kekalutan dan kebimbangan masyarakat dalam isu rempit ini, ada juga pihak yang menyatakan supaya menukar istilah ‘Mat Rempit’ kepada ‘Samseng Jalanan’. Adakah ini penyelesaian daripada Allah SWT? Adakah golongan ini ingin menyamakan ‘penyelesaian’ kes ini sepertimana mereka ‘menyelesaikan’ masalah riba dengan menukar istilah riba kepada ‘bunga’,’ interest’, dan sebagainya. Adakah sistem riba itu berubah apabila istilahnya diubah? Maka, adakah golongan Mat Rempit akan berubah jika dipanggil ‘Samseng Jalanan’?

Sayang sekali, kebanyakan Mat Rempit sangat pakar dalam permotoran. Kemahiran tentang motosikal tidak boleh disangkal lagi. Ada di antara mereka yang boleh mengubahsuai enjin sehingga menjadi sebuah enjin yang sangat luar biasa. Namun, mereka ini tidak diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkuasa, lantas mereka menjadi ‘jurutera tidak bertaqwa’.

Sukan elit seperti golf yang sudah tentu menelan belanja berjuta-juta ringgit dapat diberikan perhatian. Mengapa Mat Rempit yang berkemahiran tinggi ini gagal mendapat perhatian sewajarnya? Tidakkah pihak kerajaan tahu berapa ramaikan di antara Mat Rempit dan Minah Rempit tidak mempunyai pendidikan, mengamalkan zina, meminum arak, merogol, dan mengamalkan pelbagai lagi aktiviti sampah lagi? Di manakah kamu wahai pihak kerajaan yang wajib memberikan perhatian kepada golongan seperti ini?

Malang sungguh nasib umat Islam. Golongan yang berkemahiran tinggi tidak diasuh dengan jiwa Islam agar menjadi orang yang bertaqwa. Sayang sekali mereka adalah ‘jurutera’, tetapi mereka menjadi jurutera tidak bertaqwa. Bukankah golongan berkemahiran yang bertaqwa seperti mereka amat diperlukan oleh umat Islam?

Mungkin aktiviti Mat Rempit ini akan dibanteras habis-habisan apabila ada anak-anak menteri atau keluarga menteri yang mati dikerjakan oleh Mat Rempit. Kalau setakat warga emas yang temui ajal di tangan Mat Rempit apalah sangat?
*****
Selanjutnya...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...