Pages

31 May 2009

Wasiat Terakhir...


Mengimbau kembali lembaran sirah Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, Padang Arafah menjadi suatu medan yang terpalit suatu peristiwa yang amat menyentuh hati dan mengharukan bagi manusia yang mempunyai tunjang aqidah muslim. Di sinilah tempatnya Rasulullah SAW menyampaikan amanatnya buat terakhir kalinya. Sebuah khutbah terakhir yang penuh maksud dan sama sekali menyentuh hati para pencinta Kekasih Allah itu.

Baginda SAW bertolak dari Mina ke Arafah setelah naiknya mentari 9 Zulhijjah. Sebuah khemah didirkan untuk Baginda SAW, dan Baginda SAW masuk dan berada di dalamnya sehingga waktu Zohor.

Kemudian, Baginda SAW mengarahkan al-Qaswah, yakni untanya untuk disiapkan. Lalu Baginda SAW menaikinya sehingga Baginda SAW tiba di Wadi Uranah. Di hadapan Baginda SAW, ribuan sahabat mengelilingi Baginda SAW dengan perasaan yang penuh dengan debaran menanti apakah yang akan disampaikan oleh Baginda SAW.

Baginda SAW pun bangun berdiri dan menyampaikan khutbahnya yang penuh bersejarah itu.

“Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan, beristighfar, dan bertaubat kepada-Nya. Kita berlindung dengan-Nya daripada kejahatan diri dan keburukan amalan kita. Sesiapa yang Allah berikan hidayat kepadanya, maka tidak ada sesiapa yang boleh menyesatkannya. Sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada siapa yang boleh memberi hidayat kepadanya. Aku menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Aku menyaksikan bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya. Aku berpesan kepada kamu wahai hamba-hamba Allah supaya bertaqwa kepada Allah dan menggesa kamu supaya mentaati-Nya. Aku membuka khutbahku ini dengan muqaddimah yang baik.

Wahai manusia! Sila dengar apa yang akan kukatakan ini. Aku tidak tahu adakah aku akan dapat bersama kamu semua lagi selepas tahun ini, di tempat ini selamanya.

1. Sesungguhnya darah kamu,harta benda kamu, dan kehormatan diri kamu telah terpelihara (diharamkan) sebagaimana diharamkan hari ini, bulan ini, dan Bandar ini (Makkah dan kawasan sekitarnya).

2. Sesiapa yang memegang amanah, maka dia hendaklah mengembalikan amanah tersebut kepada tuan punyanya.

3. Ingatlah! Segala amalan jahiliyyah telah berada di tapak kakiku (yakni telah dihapuskan).

4. Tuntutan hutang darah di zaman jahiliyyah (sebelum Islam) telah diampunkan. Tuntutan darah pertama yang aku batalkan adalah darah Ibnu Rabi’ah bin al-Haris yang telah disusukan oleh Bani Saad kemudian telah dibunuh oleh Huzail.

5. Riba adalah haram dan aku memulainya dengan membatalkan riba yang akan diterima oleh Abbas bin Abdul Mutalib. Sesungguhnya ia dihapuskan keseluruhannya.

6. Wahai manusia! Takutilah Allah SWT dalam urusan yang berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah SWT dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimat Allah. Wajib ke atas merea untuk menjaga kehormatan kamu dan menjaga diri daripada melakukan perbuatan buruk, jika mereka lakukannya, maka kamu berhak untuk menghukum mereka tetapi bukanlah dengan pukulan yang mencederakan. Jika isteri-isteri kamu setia dan jujur terhadapmu, maka wajib ke atas kamu menjaga makan-pakai dengan baik.

7. Semua orang mukmin adalah bersaudara. Oleh itu, tidak halal bagi seorang muslim mengambil harta orang lain kecuali setelah mendapat kebenaran daripada tuannya.

8. Jangan kamu kembali menjadi kafir selepas pemergianku, di mana sebahagian daripada kamu memerangi sebahagian yang lain. Aku telah tinggalkan kamu suatu panduan. Jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya yakni al-Quran dan as-Sunnah.

9. Wahai manusia! Sesungguhnya tiada nabi lagi selepasku dan tiada lagi umat selepas kamu. Maka aku menyeru agar kamu menyembah Allah SWT Tuhan kamu dan menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, serta mengeluarkan zakat hartamu dengan kerelaan. Dan kerjakanlah haji ke Rumah Suci Tuanmu (Kaabah), untuk itu kamu akan masuk syurga Tuhanmu.

10. Tuhan kamu adalah Maha Esa, datuk kamu pula adalah satu, kamu semua berasal daripada Adam dan Adam telah dijadikan daripada tanah. Orang yang paling baik dalam kalangan kamu ialah mereka yang paling bertaqwa terhadap Allah. Tiada kelebihan bagi bangsa Arab berbanding bangsa lain kecuali dengan taqwa.

11. Allah SWT telah menetapkan hak menerima pusaka kepada keluarga si mati. Oleh itu, tidak boleh membuat wasiat kepada penerima pusaka. Sesungguhnya laknat Allah ke atas sesiapa yang mengaku sebagai bapa kepada bukan bapanya yang sebenar, juga laknat daripada para malaikat dan seluruh manusia.

12. Kemudian kamu akan disoal tentang aku. Maka apa yang kamu jawab? Mereke menjawab, “Kami bersaksi bahawa tuan telah menyampaikan dan menyempurnakan risalahmu”. Baginda SAW lalu mengangkat tangannya ke langit dan menurunkannya ke arah orang ramai sambil berkata, “Ya Allah! Saksikanlah”. Baginda SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali. Orang yang mengulang kembali ucapan Rasulullah SAW dengan kuatnya di Arafah ialah Rabi’ah bin Umayyah bin Khalaf r.a..
Selanjutnya...

Mari Menjaga Silaturrahim!


Setiap manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan. Lebih-lebih lagi dalam menjaga hubungan silaturrahim. Menjaga silaturrahim amat dituntut dalam Islam. Tapi, ada juga yang rela bertelagah demi mempertahan fahaman politik. Lihatlah betapa rapuhnya pegangan aqidah dan ikatan silaturrahim mereka ini. Konon-kononnya mereka ini membela nasib rakyat dan memperjuangkan Islam tetapi perkara asas dalam pembangunan masyarakat Islam gagal diterapkan. Mari kita periksa diri kita! Marilah kita mencintai insan yangmelabuhkan kecintaannya terhadap Allah! Semoga taufiq dan hidayah Allah sentiasa memagari diri kita agar jarum syaitan tidak tercucuk walaupun sebesar zarah di sanubari kita…


1. Mengucapkan salam ketika bertemu lalu berjabat tangan. Salam yang diberi, adalah menjadi satu kewajipan untuk dijawab

Maksud hadis:

"Mahukah kamu, saya beritahukan sesuatu tentang yang apabila kamu kerjakan kamu akan saling menyayangi? Budayakanlah ucapan salam diantara kamu" [HR Imam Muslim]



2. Apabila mendengar saudara seislam, apa dia bersin, hendaklah mendoakannya dengan mengucapkan “yarhamukallah” apabila mendengar dia mengucapkan “Alhamdulillah” selepas bersin

Maksud hadis:

“Daripada al-Bara’ bin ‘Azib r.a. berkata: Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk menziarahi orang sakit, mengiring jenazah ke kubur, mendoakan orang yang bersin, memberikan sumpah, menolong orang teraniaya, memuliakan (mendatangi) undangan, dan membalas salam orang lain” [Muttafaqun ‘alaih]

3. Menziarahi saudara seislam yang sakit dan mendoakannya agar segera sembuh


4. Menziarahi saudara seislam yang meninggal dunia.

Maksud hadis:

“Daripada al-Bara’ bin ‘Azib r.a. berkata: Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk menziarahi orang sakit, mengiring jenazah ke kubur, mendoakan orang yang bersin, memberikan sumpah, menolong orang teraniaya, memuliakan (mendatangi) undangan, dan membalas salam orang lain” [Muttafaqun ‘alaih]

5. Memberi nasihat dan pandangan berguna apabila diminta berbuat demikian

Maksud firman:

“ Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta nasihat-menasihati atas kebenaran dan kesabaran”
[al-Asr:1-3]


6. Tidak memutuskan silaturrahim yakni tidak berdamai selama lebih daripada 3 hari. Amalan memutuskan silaturrahim adalah amalan masyarakat arab jahiliyyah

Maksud firman:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu, dan bertaqwalah kepada Allah, semoga kamu mendapat rahmat-Nya” [al-Hujurat:10]







7. Tidak mengejek, menghina, atau memanggil namanya dengan nama yang tak disukai atau nama yang menghinakan

Maksud firman:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim"
[al-Hujurat:11]


8. Tidak memaki hamun sama ada ketika orang itu masih hidup, akan hidup semula, sedang mati, atau akan mati


9. Tidak iri hati, dengki, khianat, menipu, bersangka buruk, dan lain-lain perasaan negatif

Maksud firman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dam Rasul-Nya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang diberikan kepadamu sedangkan kamu mengetahui (kesalahannya)” [al-Anfaal”27]

Maksud hadis:

Daripada Abdullah bin Mas'ud ra katanya, Rasulullah saw bersabda, "Tidak boleh iri hati selainkan dalam dua perkara iaitu seseorang yang telah dikurniakan Allah harta lalu dihabiskan hartanya itu kejalan yang benar dan orang yang dikurniakan oleh Allah ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan dengan ilmunya (Al-Quran dan Hadis) serta diajarkannya kepada orang lain” [Muttafaqun ‘alaih]

Maksud hadis:

“Daripada Abu Hurairah r.a., ia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu saling dengki-mendengki, janganlah kamu saling tipu-menipu, janganlah kamu saling benci-membenci, janganlah kamu saling belakang-membelakangi (bermusuhan), janganlah kamu menjual atas jualan setengah kamu yang lain, dan jadilah kamu sebagai hamba Allah yang bersaudara. Seorang Islam itu adalah saudara orang Islam yang lain, tidak boleh ia menganiayai, dan tidak boleh ia mengecewakannya, dan tidak boleh membohonginya, dan tidak boleh menghinanya. Taqwa itu di sini, sambil ia menunjukkan ke dadanya tiga kali, Cukuplah kejahatan seseorang itu menghina saudaranya yang lain” [HR Imam al-Bukhari]

10. Memiliki sikap pemaaf, menutup aibnya, dan jangan mendengar rahsianya

Maksud Firman:

“Dan bersegeralah kamu mencari keampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. (Yakni) orang yang berinfaq, sama ada pada waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan” [Ali ‘Imran:133-134]


11. Membantu saudara seagama yang memerlukan bantuan dan tidak menyusahkannya

Maksud firman:

“Bertolong-tolonglah kamu dalam berbuat kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perbuatan dosa dan permusuhan” [al-Maaidah:2]
Selanjutnya...

10 May 2009

ISA: Sistem Zalim Ciptaan Manusia


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Agama Islam merupakan agama yang sempurna. Al-Quran yang menjadi sumber rujukan utama umat Islam tidak berubah sehingga hari pembangkitan. Justeru, atas kesempurnaan ini, tiada satu perkara pun yang tercicir ke belakang dalam Islam. Hal ini juga memenuhi ruang lingkup yang amat penting dalam kehidupan manusia yakni penghakiman.Antara kaedah yang masyhur dalam Islam adalah ‘al-Aslu bara’atul zimmah’ iaitu ‘seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’.

Maksud hadis Rasulullah SAW:

“(beban)pembuktian adalah atas pendakwa, dan sumpah (penafian) adalah di atas tertuduh”
[HR Imam Baihaqi dan Muttafaqun ‘alaih]

Hadis ini membuktikan bahawa hukum asal bagi seseorang itu adalah tidak bersalah, dan pihak pendakwa hendaklah membuktikan bahawa orang yang tertuduh itu bersalah. Jika dia gagal membuktikannya, maka si tertuduh tetap berada dalam keadaan asalnya yakni tidak bersalah. Oleh yang demikian, menjatuhkan hukuman tanpa bukti dan dakwaan sedikit pun seperti yang berlaku dalam ISA adalah ternyata bertentangan dengan hadis ini. Hukum ciptaan manusia ini sama sekali mencabar hukum yang telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW.
Dalam Islam, tiada sesiapapun yang mengatasi undang-undang Allah. Baik pemerintah, polis, rakyat, malah sesiapa sahaja.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud:

“Maka barang siapa yang telah terambil hartanya olehku, maka inilah hartaku, maka silalah mengamblnya dan barang siapa yang telah aku tersalah sebat belakangnya, maka inilah belakangku untuk disebatnya, maka hendaklah dia mengambil keputusanku ini” [HR Imam Baihaqi]

Dalam hadis ini, pertama, Rasulullah SAW telah mensabdakan hadis ini dalam ruang lingkup Rasulullah SAW sebagai seorang pemerintah dan juga hakim. Bayangkan, Baginda SAW merupakan Rasulullah, tetapi undang-undang tetap undang-undang. Baginda tidak boleh mengatasi undang-undang! Kedua, sesiapa sahaja yang telah dihukum dengan cara yang salah, dia berhak menuntut balasan yang setimpal. Melalui dalil ini, jelas bahawa menjadi satu kezaliman pemerintah menghukum rakyatnya tanpa ada bukti yang membuktikannya layak dihukum. Justeru, seseorang tidak boleh mendera atau menyeksa orang lain tanpa keputusan hakim. Hukumnya juga haram bagi seseorang hakim untuk menghukum (sama ada mengambil harta, mendera, atau memenjara) orang lain tanpa hak!

Pada zaman Rasulullah SAW, seorang isteri telah dituduh oleh suaminya bersekedudukan dengan orang lain. Kemudia, si isteri di bawa menghadap Rasulullah SAW bagi proses penghakiman. Tetapi dia telah teragak-agak dalam melakukan penafian. Dalam kes ini, si isteri tersebut telah terlepas daripada hukum rejam kerana dia telah melakukan sumpah li’an. Namun, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“seandainya aku boleh merejam seseorang itu tanpa bukti, nescaya aku akan merejamnya” [HR Imam Muslim, Ahmad, Baihaqi, dan Thobrani]

Jelaslah bahawa kita tidak boleh menghukum orang lain sesuka hati walaupun terdapat kesamaran dalam sesuatu penafian. Rasulullah SAW juga tidak memaksa, mendera, dan mengugut perempuan tersebut untuk mengaku kesalahannya. Rasulullah SAW merupakan insan istimewa yang dikurniakan wahyu oleh Allah SWT. Sudah pastinya Rasulullah SAW lebih tahu tentang perkara tersebut. Di sini kita dapat melihat kehebatan dan ‘khasyaf’ polis dan menteri. Walaupun mereka tidak karramah, apa lagi wahyu dan mukjizat, mereka sewenang-wenangnya menyumbat suspek ISA ke dalam ‘neraka ISA’ dan diseksa tanpa perbicaraan dan bukti yang kukuh .

Islam agama yang lengkap. Islam membenarkan pihak polis menahan tertuduh bagi membolehkan maklumat dikumpul sebelum dakwaan dilakukan. Walaubagaimanapun, penahanan ini hanya boleh dilakukan dengan perintah daripda mahkamah dalam tempoh yang terhad sahaja.

Maksud hadis Rasulullah SAW:


“Bahawa Nabi SAW menahan seorang lelaki kerana tuduhan kemudian dia dibebaskan” [Riwayat Lima kecuali Ibnu Majah]

Perlu difahami, penahanan bukanlah untuk menyeksa, tetapi penahanan dilakukan dalam tempoh yang terhad bagi memperoleh maklumat, bukan untuk penyeksaan!
Keharaman ISA tidak dapat diselindung lagi. ISA adalah undang-undang buatan manusia di dalam Parlimen yang diluluskan dengan cara majoriti. Inilah kebusukan sistem ciptaan manusia. Mencipta undang-undang zalim demi kepentingan diri dan supaya tampuk kekuasaan yang dimiliki tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak. ISA jelas mencabar hukum-hukum Allah. Lihatlah betapa beraninya pemimpin-pemimpin akhir zaman ini.Paling menyedihkan, ISA digunakan untuk menghalang penerapan Islam.

Wahai umat Islam! ISA merupakan akta ciptaan manusia yang zalim! Namun, sebagai seorang muslim, kita hendaklah mengukur istilah ‘zalim’ itu yang mendasar kepada pandangan Allah SWT dan Rasul-Nya, bukan yang mendasar kepada emosi. Bukan ISA sahaja yang zalim, bahkan hampir kesemua sistem ciptaan manusia itu adalah zalim yang diluluskan dengan mudah melalui sistem demokrasi. Sistem ciptaan manusia wajib dihancurleburkan dan digantikan dengan hukum daripada Allah SWT

Maksud firman:

“Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [al-Maaidah:45]

Wallahu a’lam…


Selanjutnya...

Kenali Ejen-ejen Perosak Akhlak

Dewasa ini, semakin banyak rancangan hiburan muncul serta mendapat tempat di hati masyarakat terutamanya anak-anak muda. Rancangan ini bertindak sebagai racun. Anak-anak muda yang terkena racun ini akan mengalami mutasi dan membentuk barah yang sangat merbahaya. Barah yang merosakkan iman, taqwa, dan akhlak mahmudah.

Inilah yang dikatakan ‘ghuzwatul fikr’ atau serangan pemikiran yang telah dilancarkan sekian lama oleh kaum kafir yang sememangnya memusuhi Allah dan umat Islam. Mereka tidak menyerang umat Islam dengan kaedah ketenteraan, sebaliknya menyuntik jarum-jarum mereka yang halus itu supaya Islam rebah perlahan-lahan.

Semoga intipati post kali ini dapat mengingatkan kita, lebih-lebih lagi makhluk yang menulis blog ini. Namun, ini hanyalah sebahagian sahaja daripada sejumlah besar rancangan hiburan yang menjadi ejen perosak di Malaysia. Semoga kita dijauhkan oleh Allah daripada perkara-perkara yang lagho ini! Semoga thoghut ini hancur! Amin…



1. TOM TOM BAK

Sebuah rancangan yang melibatkan kanak-kanak. Kanak-kanak ini bukan diajar supaya mengenal Allah SWT dan Rasul-Nya, tapi diasuh dengan perkara-perkara yang melalaikan. Anak-anak kasihan ini diasuh supaya menari,menggoyang-goyangkan badan,menyanyi,dan perkara-perkara yang melalaikan. Alangkah malangnya anak-anak ini.Masih kecil tapi berkemungkinan besar berpotensi menjadi orang yang merosakkan orang lain pada hari depannya.

“YA ALLAH, KAU BIMBINGLAH ANAK-ANAK INI! MEREKA ADALAH HARAPAN ISLAM!”
2. MENTOR
Satu lagi rancangan yang membuahkan kerosakan ummah. Rancangan perosak ini mengetengahkan para artis professional lagi ternama bagi mengajar protégé mereka memaksiati Allah SWT. Dalam Islam,seseorang murid bertalaqqi dengan gurunya untuk belajar tajwid, qiraat, taranum, dan sebagainya. Tapi protégé dalam rancangan barah ini ‘bertalaqqi’ untuk belajar menari dan menyanyi tanpa menjaga batas-batas pergaulan lelaki dan perempuan.

“YA ALLAH, KAU JADIKANLAH MEREKA GURU YANG MENDIDIK MURIDNYA MENGENAL ISLAM!”
3. ONE IN A MILLION
One in a Million merupakan rancangan realiti yang mencungkil ‘bakat’ penyanyi muda. Ejen perosak ini merupakan ejen perosak pertama yang menawarkan RM1 juta kepada pemenang. Masih ada rakyat yang tak makan, serba kekurangan, dan memerlukan pembelaan. Tapi RM1 juta ini dihadiahkan kepada artis yang ‘berbakat’ pada pandangan peminat.

“YA ALLAH, SEMOGA MEREKA KEMBALI KE PANGKAL JALAN DENGAN HIDAYAH-MU…”
4. MALAYSIAN IDOL
Sebuah rancangan yang diasaskan di negara kufur United Kingdom dan menular ke Malaysia. Matlamat mereka bukanlah menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola mereka. Sebaliknya menjadikan artis-artis yang tidak membawa kejayaan supaya menjadi idola mereka.

“YA ALLAH HANCURKANLAH THOGHUT! BAWALAH MEREKA KEPADA SEBAIK-BAIK BEKALAN"
5. AKADEMI FANTASIA
Akademi Fantasia (AF) merupakan ejen perosak paling merbahaya di Malaysia. AF juga menjadi duri dalam daging dalam masyarakat Melayu Islam kerana rata-rata yang menonton rancangan ejen perosak ini adalah umat Melayu Islam. Rancangan realiti ini juga merupakan rancangan realiti yang paling hangat dan diminati oleh setiap lapisan masyarakat. Masyarakat bukan berbelanja untuk mencegah barah yang sedia kronik ini, sebaliknya membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk menyebarluaskan barah ini. Paling mengejutkan dan menyedihkan, ada juga artis nasyid dan qari yang membahayakan diri sendiri untuk turut serta menghidap barah yang sedia kronik ini.


“YA ALLAH, DENGAN RAHMAT-MU, HINDARILAH KAMI DARIPADA BALA-MU, AZAB-MU, DAN KEMURKAAN-MU DISEBABKAN OLEH KEMAKSIATAN AKADEMI FANTASIA…”




Selanjutnya...

09 May 2009

Awas, Bahaya Rebranding!


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


1. Riba
Istilah riba ditukar kepada ‘bunga’, ‘faedah’, ‘interest’, dan mungkin berbagai-bagai istilah lain. Dengan tertukarnya istilah ‘riba’,maka masyarakat tidak lagi takut untuk mengamalkan riba. Apabila masyarakat menyebut perkataan ‘interest’, tiada ketakutan pada Allah terlintas di hati. Pernahkan orang bertanya kepada pekerja di bank, “berapa peratus riba pinjaman saya?”

Taklif menghapuskan riba terletak pada bahu pemerintah! Wahai pemerintah, apakah yang anda akan jawab di akhirat kelak di hadapan Allah? Anda redha dengan sistem kufur!


Maksud firman:

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. [al-Baqarah:275-279]

Dan kerana mereka menjalankan riba, pada hal sungguh mereka telah dilarang daripadanya, dan kerana mereka memakan harta orang dengan cara yang tidak sah (bathil). Dan Kami sediakan untuk orang-orang kafir di antara mereka azab yang pedih [an-Nisaa’:161]

2. Islam Hadhari
Islam itu mudah, bukan dipermudahkan. Islam itu baik, bukan diperbaiki! Mengapa perlu ada Islam Hadhari? Adakah agama Allah itu belum lengkap? Rukun Islam yang lima pun masih belum ada yang menyempurnakannya, inikan pula ’10 Rukun Islam Hadhari’ yang direka-reka oleh manusia yang kononnya ingin mengembalikan kehidupan Islam.

Maksud firman:

Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (Ketua-ketua ugamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu. Dan mereka pula berkata: "(bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah", padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta). [ali ‘Imran:78]

3. Politik Wang
Istilah ‘politik wang’ digunakan bagi mengaburi mata rakyat. Pengamal politik wang dilihat lebih bersih sedikit berbanding pengamal rasuah. Walhal istilah ‘rasuah’ ditukar ganti dengan ‘politik wang’ agar menimbulkan keringanan pada mata rakyat yang ditipu.

Maksud firman:

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). [al-Baqarah:188]

4. Demokrasi
Masalah ummah kian parah apabila menyangka demokrasi itu sinonim dengan syura. Walhal, kedua-dua istilah ini membawa maksud yang cukup berbeza. Demokrasi adalah sistem kufur yang disebarluaskan oleh orang kafir. Syura pula adalah perintah Allah SWT. Masakan kedua-dua istilah ini sinonim? Demokrasi merupakan sistem kufur di mana manusia menggubal undang-undang menurut kemahuan manusia, bukan yang mendasar kepada al-Quran, as-Sunnah, ijmak sahabat, dan al-Qiyas!

Maksud firman:

Katakanlah: "Sesungguhnya aku tetap berada di atas (kebenaran yang berdasarkan) bukti-bukti yang nyata (Al-Quran) dari Tuhanku; sedang kamu mendustakannya. Tidak ada padaku apa yang kamu minta disegerakan (dari azab seksa); hanya Allah jualah yang menetapkan hukum; Ia menerangkan kebenaran, dan Dia lah sebaik-baik yang memberi keputusan". [al-An’aam:57]

5. Zina
Zina merupakan satu gejala kebejatan akhlak yang menghantui masyarakat masa kini lebih-lebih lagi golongan muda. Perkataan zina ditukar kepada ‘seks luar nikah’, ‘seks rambang’, dan sebagainya. Manakalah zina secara paksa (zina bil jabr) ditukar kepada ‘sumbang mahram’, ‘rogol’, dan sebagainya. Apabila istilah yang berat seperti ‘zina’ ditukar-tukar, sudah tentu akan mencabut ketakutan kepada Allah di hati.

Maksud firman:

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). [al-Isra’:32]
Selanjutnya...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...