Pages

11 December 2009

Drama dan Filem Hantu: Satu Kemunduran Umat

Drama dan filem hantu semakin mendapat tempat di hati masyarakat masa kini. Pejam celik, pejam celik, kewujudan drama dan filem hantu bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Drama dan filem hantu saling bersilih ganti. Terhangat, hantu-hantu turut dipublisitikan oleh manusia menerusi Muzium Negara. Ini menunjukkan hantu semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Suatu ketika dulu, kita dikhabarkan dengan Jin Ifrit yang mengekori Rasulullah SAW semasa peristiwa Mi'raj. Kini, kita dikhabarkan dengan Jin Notty pula.

Sedar ataupun tidak, situasi yang sedang melanda ini merupakan satu malapetaka kepada umat Islam. Masakan tidak, persoalan berkaitan hantu digembar-gemburkan secara meluas, kebesaran Allah SWT langsung tidak diendahkan.

Lebih menyedihkan, kewujudan drama dan filem hantu masa kini membuka satu lembaran baru dalam umat Islam. Satu episod syirik telah terwujud akibat kemunculan hiburan murahan ini. Makhluk Allah tidak lagi takutkan Maha Pencipta, sebaliknya makhluk Maha Pencipta ini takutkan makhluk! Anak-anak kecil juga sudah dididik untuk takutkan hantu. Mengapa oh mengapa anak-anak tidak berdosa ini dinodai dengan pemikiran kotor seperti ini? Sayang sekali pemikiran bersih mereka dimomokkan seperti ini dan mewujudkan satu kesinambungan yang amat buruk sekali apabila mereka menjengah ke alam dewasa.



Bukan itu sahaja, akhir-akhir ini, wujud pula persaingan untuk menonjolkan siapa yang terbaik dalam hiburan sampah ini. Sebagai contoh, pihak yang terlibat dalam pembikinan filem Jin Notty dan Momok saling mendabik dada untuk membuktikan filem yang dihasilkan mereka adalah yang terbaik. Lebih menjelikkan lagi, filem hantu bertaraf sampah 5 bintang seperti Momok ini ditayangankan pada Hari Raya Aidilfitri. Mungkinkah terpalit pada pemikiran mereka, hantu sudah mula dilepaskan pada hari raya?

Lebih memualkan lagi, 'golongan pencinta hantu' ini menggunakan ayat-ayat al-Quran untuk mempromosikan karya mereka. Bukan itu sahaja, pelakon-pelakon drama murahan ini juga memperbodoh penonton dengan bertakbir sambil berpelukan lelaki dan perempuan ajnabi apabila melihat hantu. Tidakkah ini satu pembohongan terhadap umat? Mereka memperalat agama dalam mempromosikan karya sampah mereka. Tatkala mereka memperbodoh umat, mereka goyahkan pula aqidah umat. Rosak!

Marilah kita bersama-sama memulaukan hiburan yang tidak bermanfaat ini. Manfaat hiburan seumpama ini hanyalah bagi golongan berhaluan kapitalis. Mereka hanya memikirkan keuntungan wang ringgit semata-mata. Apa gunanya golongan ini sibuk mengira wang yang masuk ke dalam poket mereka, tetapi menggugat aqidah penonton yang gilakan hiburan murahan ini?

Sesungguhnya drama dan filem hantu adalah satu bukti kemunduran umat. Takutlah akan Allah dan janganlah takutkan makhluk. Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa, makhluk langsung tiada kuasa. Segeralah kembali ke jalan Allah sebelum kita dirosakkan dengan lebih teruk lagi akibat palitan kapitalism terhadap umat!
Comments
0 Comments

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...