Sebut sahaja pasal Amerika, terlintaslah di benak fikiran kita, itulah 'Polis Dunia'. 'Kepolisan Dunia' itu menyebabkan pihak Amerika amat berkeinginan menyebarluaskan ideologinya.Saban hari, ada saja taktik yang digunakan bagi meluaskan empayarnya bagi mengenyangkan perut sendiri. Operasi ketenteraan giat dijalankan di seantero dunia. Bahkan, pihak Rumah Putih juga pernah menyatakan hasrat untuk 'menjaga' Selat Melaka.
Demokrasi disebarluaskan oleh pihak Amerika. Caranya adalah menjalankan operasi ketenteraan dan serangan pemikiran ke atas umat Islam. Ratusan ribu tentera dikerahkan ke kawasan jajahan. Kononnya demokrasi itu adalah 'Kebebasan Bersuara', 'Keamanan', dan sebagainya.
Pelbagai kaedah telah dilakukan oleh kaum Barat terutamanya 'ketua' demokrasi yakni Amerika Syarikat supaya masyarakat dunia dan masyarakat Islam dapat menerima demokrasi. Balutan cantik dikenakan pada intipati demokrasi. Kebodohan dan kehodohan demokrasi ditutup dengan balutan yang amat cantik itu. Kononnya demokrasi itu 'kebebasan bersuara' dan 'keamanan' seperti yang dinyatakan di atas. Tidak pernah pula disebut, demokrasi adalah sistem pemerintahan di mana manusia menggubal hukum mengikut kemahuan sendiri. Lebih dahsyat, ulama-ulama moden zaman kini telah bersepakat bahawa demokrasi itu dibenarkan dalam Islam. Malah, ada juga yang berpendapat, sistem pemerintahan demokrasi itu lahir daripada agama Allah.
Jika benarlah demokrasi itu datang daripada Islam, maka kita tidak perlulah marah dan membantah penjajahan Amerika ke atas Afghanistan, Iraq, dan di seluruh pelosok dunia. Ini adalah kerana 'demokrasi itu daripada Islam'. Kita tidak perlulah marah sekiranya mereka menceroboh Iraq, Afghanistan, dan Palestin kerana mereka membawa ideologi yang merupakan sebahagian daripada Islam, yakni demokrasi. Jika benarlah demokrasi itu datang daripada Islam, maka kita haram untuk menentangnya, kerana mereka sedang menerapkan hukum-hukum syarak kerana demokrasi itu berasal daripada Islam.Fikir-fikirlah wahai kaum yang beriman. Adakah jumhur (kebanyakan) ulama yang menentukan kehalalan demokrasi? Ataupun nas yang jelas tentang keharaman sistem-sistem selain daripada Islam yang mengharamkannya? Walaupun hanya seorang ulama yang memberikan dalil yang jelas yang menyatakan keharaman sesuatu perkara, ia tetap dapat mengalahkan pendapat 1000 ulama yang hanya memberikan 'dalil' akal. Wallahu a'lam...